Sunday, November 6, 2011

dilanggar todak

Lelaki cedera ditusuk ikan todak

ALOR SETAR 5 Nov. - Seorang lelaki cedera pada pipi kanannya selepas ditusuk seekor ikan todak ketika memancing di perairan Langkawi, awal pagi tadi.

Kejadian pukul 2 pagi itu berlaku semasa mangsa, Ismail Talib, 52, keluar ke laut bersama abang ipar dan anak saudaranya dengan sebuah bot sejak semalam.

Menurut anak saudara mangsa, Muhammad Shukri Senafi, 19, semasa insiden itu, Ismail sedang tunduk untuk mengangkat hasil tangkapan di laut.

"Tiba-tiba seekor ikan todak yang dipercayai sebesar ibu jari kaki melompat keluar dari permukaan air lalu menusuk pipi kanannya.

"Saya dan bapa, Senafi Ahmad, 60, sedang tidur dan terkejut mendengar jeritan pakcik (Ismail) yang meminta dibawa ke hospital dengan segera," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang pesara tentera dikejarkan ke Hospital Langkawi sebelum dirujuk ke HSB untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, menurut isteri mangsa, Sayah Ariffin, 50, suaminya sering ke laut kebelakangan ini untuk menangkap ikan dan sotong di perairan tersebut.

"Suami memang suka ke laut apatah lagi apabila terdengar khabar ikan dan sotong banyak di laut sekarang. Tidak sangka pula begini jadinya.

"Kami amat risau kerana dia (Ismail) mengadu tidak boleh nampak apa-apa lagi. Namun saya bersyukur kerana dia selamat dan cuma terpaksa menjalani pembedahan untuk menjahit luka yang terkoyak akibat tusukan ikan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment