Monday, November 21, 2011

taman belukar

Taman rekreasi jadi taman belukar
Oleh : MUSTAQIM AMIR AZNARI MOHAMED
Tarikh : November 20, 2011
Taman rekreasi jadi taman belukar
KAMPUNG EXPO – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Expo sedih melihat keadaan Taman Rekreasi Kampung Expo, di sini, yang terbiar akibat tiada perhatian dan penyelenggaraan daripada pihak berkaitan.

Setiausaha JKKK Kampung Expo, Mohd Fadhil Abdullah berkata, taman berkenaan sepatutnya menjadi satu kemudahan untuk orang ramai beriadah serta menjalankan aktiviti sukan pada masa lapang.

Katanya, lebih menyedihkan, keadaan taman yang terbiar itu turut menimbulkan beberapa masalah lain, termasuk masalah sosial dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda.

“Taman rekreasi itu telah dibina sejak lebih 10 tahun lalu dan keadaannya yang terbiar serta dipenuhi belukar sekarang ini, menyebabkan ia dijadikan sarang penagih dadah, selain menjadi habitat hidupan liar.

“Malahan, terdapat juga dakwaan yang mengatakan kawasan taman rekreasi itu dijadikan lokasi pasangan kekasih berdua-duaan dan melakukan maksiat sungguhpun belum pernah ditemui sewaktu rondaan dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Mohd Fadhil, kerosakan taman rekreasi itu turut menyebabkan kerosakan beberapa kemudahan lain yang berada dalam kawasan berkenaan seperti gelanggang takraw dan taman permainan.

“Sedih hati saya apabila melihat kemudahan yang tersedia untuk semua lapisan masyarakat itu tidak dapat bertahan lama kerana sikap tidak endah dan tidak prihatin dalam kalangan masyarakat.

“Akibat sikap itu, taman rekreasi telah bertukar menjadi belukar serta kehilangan fungsi, sekali gus menyebabkan masyarakat di sini kehilangan satu kemudahan untuk mereka beriadah dan bersukan,” katanya.

Mohd Fadhil berkata, tiada lain yang diharapkan oleh JKKK Kampung Expo selain langkah baik pulih taman berkenaan dilaksanakan oleh pihak berkaitan untuk mengembalikan fungsi serta keceriaannya.

“Saya harap kawasan taman rekreasi itu akan dapat dibersihkan dan dipulihkan agar dapat memberi manfaat kepada penduduk,” katanya. perak

No comments:

Post a Comment