Wednesday, November 23, 2011

datang untuk menipu orang malaysia

72 lelaki Afrika ditahan


RODWAN Yusof (dua dari kiri) bersama anggotanya menyoal siasat warga Afrika yang ditahan dalam Ops Tiong di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 22 Nov. – Polis memberkas seramai 72 lelaki warga Afrika yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenis penipuan dalam talian melalui operasi bersepadu di lebih 20 lokasi penempatan rakyat itu di sekitar Lembah Klang, di sini awal pagi ini.
Kesemua mereka disyaki terlibat melakukan sebanyak 945 penipuan melibatkan kerugian RM29.63 juta sejak Januari hingga Oktober lalu.
Ops Tiong selama enam jam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman itu dilakukan di beberapa lokasi seperti Desa Lembah Permai, Ampang Jaya; Taman Wangsa Permai, Sentul; Metro Prima, Kepong dan Seri Damansara, Petaling Jaya.
Timbalan Pengarah II JSJK, Datuk Rodwan Yusof berkata, serbuan dilakukan selepas risikan mendapati penghuninya yang mendakwa pelajar terlibat melakukan penipuan menggunakan rangkaian Internet.
Katanya, antara penipuan dilakukan adalah kiriman penghantaran barang, wasiat, perbankan dan Black Money.
“Daripada 72 warga Afrika yang ditahan, 67 ialah rakyat Nigeria, Cameroon (tiga) dan Papua New Guinea (dua), manakala turut ditahan untuk pemeriksaan dua wanita warga Nigeria dan seorang rakyat Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak, di sini hari ini.
Operasi yang melibatkan 42 pegawai dan 300 anggota itu turut disertai Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Imigresen.
Ketika serbuan dilakukan, terdapat warga Afrika yang enggan bekerjasama dengan mempertikaikan serbuan polis, namun tiada seorang yang berjaya meloloskan diri.
Rodwan menambah, hasil pemeriksaan, polis menemui peralatan membuat Black Money di beberapa buah rumah selain wang palsu dollar Amerika Syarikat.
“Bagi mengesan penipuan yang telah dilakukan, polis telah merampas komputer riba milik kesemua suspek untuk dihantar ke Jabatan Forensik dan membuat pengesanan.
“Ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua mereka tidak mengambil sebarang jenis dadah,” ujarnya.
Katanya, taktik ‘Awang hitam’ yang sering mendakwa diri mereka sebagai pelajar juga terbongkar apabila dua keping kad matrik tertera identiti sama tetapi berlainan wajah pemilik ditemui.
Beliau berkata, siasatan dan tindakan lanjut juga akan dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelancongan dan Jabatan Imigresen.
Menurutnya, polis meminta Kementerian Pengajian Tinggi supaya mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap kolej yang menjadi dalang kepada kemasukan warga Afrika yang menjadi penjenayah itu.

No comments:

Post a Comment