Thursday, November 17, 2011

rungutan pengguna komuter

Surat terbuka kepada KTMB, SPAD

“TOLONG! Tolong! Jangan tolak! Ada budak kecil!”

“Jangan tolak! Ada orang tua la! Bahaya la!”

“Kalau ada yang mati terpijak atau terhimpit baru mahu buat sesuatu!”

“Aku tak peduli! Dah dua kali aku miss naik sebab penuh sangat! Kali ini aku akan rempuh, tidak kira apa nak jadi, jadi la.”

“Pasal apa la, sekarang ini dah tidak ada hentian terhad (limited stop)?”

“Pengumuman pun tidak ada? Batal ke apa ni?”

“Mana nak berbaris ini? Hijau ke? Merah atau biru? Tidak ada pengumuman pun?” (seketika kemudian...) “La! Komuter sampai pun tidak ada pengumuman!

“Batal lagi! Tergendala lagi ! Apa cerita ini?”

“Woi! Panasnya! Air-con tidak ada pula! Hisss…”

Dialog-dialog di atas adalah biasa kita dengar khususnya pengguna perkhidmatan komuter dan saya adalah salah seorangnya.

Saya mula menggunakan perkhidmatan KTM Komuter sejak tahun 2008 lagi dari Padang Jawa ke stesen KL Sentral setiap hari. Pada pendapat saya, ada tiga fasa yang berbeza sepanjang saya menggunakan perkhidmatan ini.

FASA 1:

PERKHIDMATAN setiap 20 minit (kalau tidak silap saya). Apa yang saya ingat, perkhidmatannya sentiasa lambat, tidak mengikut masa yang ditetapkan, juga selalu batal sebab yang saya tidak pasti. Saya yang baru berpindah pejabat dari Bandar Sunway ke Plaza Sentral terpaksa menghadapi pengalaman ini dengan sabar. Ramai rakan kembali menggunakan kereta sendiri. Sebabnya seperti yang saya nyatakan seperti di atas tadi. Bila waktu pulang (dari laluan KL ke Pelabuhan Klang), pengguna berebut hanya sebab ingin tempat duduk, waktu itu pengguna tidak terlalu ramai.

FASA 2:

PERKHIDMATAN setiap 30 minit, dengan alasan untuk memastikan tiada perkhidmatan/trip yang lambat dan batal. Ia satu tindakan untuk menaikkan mutu perkhidmatan.

Seingat saya mutu perkhidmatan agak meningkat sedikit dan agak jarang komuter datang lambat cumanya, pengguna mulai ramai, mungkin pekerja dari pejabat-pejabat baru di sekitar KL Sentral. Maka pada waktu balik, pengguna berebut-rebut untuk memastikan dapat masuk dan bukan lagi untuk mendapat tempat duduk.

FASA 3:

PERKHIDMATAN laluan terhad (limited stop) telah diperkenalkan pada waktu puncak yang menjadikan masa selama 15 minit. Agak membantu pada mulanya tetapi kemudiannya tidak konsisten terutamanya laluan Pelabuhan Klang ke Batu Cave. Ini menyebabkan kesesakan yang luar biasa pada waktu puncak. ‘Diburukkan’ lagi dengan pertambahan pengguna selepas SSM, UEM, NSN (Nokia Siemen), Axiata, 1 Sentral (pejabat) dan lain-lain. Sepatutnya apabila ramai pengguna, maka perkhidmatan hendaklah dipertingkatkan. Ini tidak, ia semakin merosot. Pada hari surat ini ditulis (10/11/2011), tiada lagi perkhidmatan laluan terhad (setiap 15 minit). Pada waktu puncak, kadang kala pengguna hanya dapat masuk pada trip yang ke-2 atau ke-3, dan bayangkan setiap trip adalah selama setengah jam (masa menunggu).

Pun begitu saya dapati perkhidmatan dari Rawang ke Seremban agak memuaskan. Selain perkhidmatan laluan terhad yang agak konsisten, ia juga mempunyai perkhidmatan baru enam koc yang menyebabkan tiada kesesakan yang luar biasa berlaku.

Saya berpendapat perkhidmatan enam koc diperkenalkan kepada laluan ini adalah disebabkan jumlah pengguna yang lebih ramai dari laluan Pelabuhan Klang ke Batu Cave, tidak syak ia merupakan sesuatu pilihan yang tepat. Saya mendapati komposisi kaum untuk laluan ini Melayu 35%, Cina 35%, India 10% dan lain-lain 20%.

Sekiranya kita lihat perkhidmatan LRT, kita akan dapati komposisi kaum ialah Melayu 20% India 20% Cina 50% dan lain-lain 10%.

Perkidmatan LRT memang cemerlang, dengan perkhidmatan setiap 3 minit atau 8 minit dan terlalu jarang tergendala, menyebabkan perkhidmatannya merupakan satu mimpi bagi pengguna perkhidmatan komuter.

Sayangnya ia hanya berakhir di Kelana Jaya (tiada bagi penduduk Klang dan Shah Alam) dan juga rancangan LRT extension tidak membantu kerana tidak melalui tempat kami tetapi terus ke Subang Jaya dan Puchong. Bagaimanapun, ia juga kelak dapat offload pengguna majoriti kaum Cina terutama di Subang Jaya dan sedia maklum kaum Cina juga merupakan penduduk nmajoriti di Puchong. Saya akui dari segi pasaran dan kuasa membeli menyebabkan dua tempat ini dipilih untuk LRT extension.

Maka saya ingin cadangkan supaya:

* Untuk jangkamasa terdekat ini, sila pastikan perkhidmatan hentian terhad dijalankan semula seberapa segera di laluan Pelabuhan Klang ke Batu Cave.

* Sila buat pengumuman dengan konsisten terutama waktu puncak, seperti perkhidmatan dibatalkan.

* Laluan Pelabuhan Klang ke Batu Cave diutamakan (priority) untuk permulaan pengurusan koc yang baru tiba (Kereta Api Unit Gandaan Elektrik EMU) iaitu bulan depan dan bulan selanjutnya kerana kami menanggung derita yang paling berat setakat ini.

* Pihak KTM dengan seberapa segera memberi tahu perkembangan mengenai koc baru ini.

* Saya juga ingin menjemput menteri dan pegawai yang berkaitan melawat kami tetapi bukan waktu tengah hari (waktu bukan puncak) tetapi waktu puncak di KL Sentral (pukul 5 petang hingga pukul 7). Boleh melihat sendiri betapa berbahayanya keadaan tersebut.

* Buat rancangan masa panjang, dan gunakan aset KTM yang berharga untuk mengubah perkhidmatan sedia ada kepada perkhidmatan lebih baik seakan-akan LRT dan MRT.

Saya juga berharap agar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) turut melihat perkara ini.

PENGGUNA TETAP KOMUTER

Jalan Paladium, Shah Alam

No comments:

Post a Comment