Wednesday, November 23, 2011

tipu kwsp

22 ahli KWSP didenda tipu pengeluaran

KUALA LUMPUR 22 Nov. - Seramai 22 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didapati bersalah dan didenda sepanjang Julai hingga September lepas kerana terlibat dengan penipuan pengeluaran.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, sejumlah lima saman baru untuk kesalahan yang sama juga telah difailkan di mahkamah dalam suku tahun berkenaan.

Menurut beliau, tindakan yang dikenakan itu merupakan usaha berterusan pihaknya dalam membanteras dan mencegah kegiatan penipuan.

"Sebanyak 22 ahli yang didapati bersalah telah didenda sebanyak RM17,400 oleh mahkamah bagi kesalahan yang melibatkan penipuan pengeluaran perumahan KWSP.

"Salah seorang daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara, manakala 16 lagi berkemungkinan dipenjarakan sehingga enam bulan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

"Adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan simpanan ahli terus dilindungi termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli yang didapati bersalah mengeluarkan simpanan persaraan mereka secara tidak sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991, ahli yang didapati bersalah melakukan penipuan atau cubaan menipu pengeluaran boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Nik Affendi berkata, mereka yang disabitkan kesalahan tetapi memulangkan wang yang dikeluarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan hanya akan dibenarkan memohon di bawah pengeluaran yang sama dalam tempoh dua tahun dari tarikh wang tersebut dipulangkan.

Bagaimanapun, kata beliau, bagi ahli yang tidak memulangkan wang atau berbuat demikian selepas tempoh enam bulan dari tarikh sabitan, maka mereka akan hilang hak bagi membuat pengeluaran yang sama untuk selama-lamanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penipuan pengeluaran turut membabitkan penyerahan dokumen palsu oleh ahli bagi mendapatkan kelulusan permohonan pengeluaran simpanan KWSP mereka.

Justeru itu, katanya, setiap permohonan pengeluaran dan dokumen sokongan yang diterima oleh pihaknya akan disemak secara terperinci dan dirujuk dengan pihak berkaitan untuk menentukan kesahihannya.

"Sistem KWSP berkemampuan mengesan ahli yang telah membuat penipuan walaupun selepas pengeluaran dibuat.

"Pegawai KWSP juga dari semasa ke semasa dilengkapkan dengan maklumat terkini berkaitan kes penipuan terutama modus operandi yang digunakan oleh ahli atau sindiket terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment