Tuesday, November 15, 2011

tarik balik

Cerai suami: Dua madu tarik tuntutan

KUALA LUMPUR 14 Nov. - Dua madu yang berpakat untuk bercerai dengan suami mereka pada September lalu, hari ini menarik balik permohonan perceraian masing-masing di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini.
Siti Shahina Abdul Rahim dan madunya, Marziana Zakaria selaku plaintif turut menarik balik permohonan cerai secara fasakh yang dikemukakan terhadap suami mereka, Liaquat Ali.
Perkembangan terbaru itu dimaklumkan oleh seorang kakitangan mahkamah berkenaan kepada para pemberita sejurus selepas semua kes lain selesai didengar di mahkamah tersebut.
Bagaimanapun, kesemua pihak dalam kes perceraian pasangan madu itu bersama Liaquat yang masing-masing tidak diwakili peguam syarie tidak hadir ke prosiding hari ini.
Kemelut rumah tangga tersebut menarik perhatian media apabila kedua-dua wanita berkenaan yang didakwa saling sihir-menyihir antara satu sama lain berpakat untuk bercerai secara baik dengan suami mereka setelah mendakwa tidak tahan dengan sikap buruk lelaki itu.
Dakwaan perbuatan khurafat tersebut diberitahu oleh Liaquat selaku defendan ketika kes itu didengar buat pertama kali di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin, September lalu.
Marziana selaku isteri kedua kemudian menjelaskan sikap buruk suaminya yang panas baran dengan memaki-hamun dan memukul mereka merupakan punca dia dan madunya mengemukakan permohonan cerai tersebut.
Selain itu, wanita terbabit mendakwa dia dan Siti Shahina yang tinggal serumah pernah melihat masing-masing dipukul, dimaki dan dimarahi oleh Liaquat.
Pada prosiding tersebut, mahkamah memutuskan agar setiap plaintif dan defendan melantik seorang wakil untuk menganggotai Jawatankuasa Pendamai yang diwujudkan bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut rumah tangga berkenaan.
Namun, kedua-dua isteri itu telah menolak cadangan untuk berdamai dengan tidak membawa wakil untuk menganggotai jawatankuasa tersebut ketika sebutan pada bulan lalu.
Keengganan untuk berdamai itu telah menyebabkan Shaiful Azli menasihatkan kedua-dua plaintif berkenaan membatalkan permohonan cerai secara baik dan memfailkan tuntutan baru iaitu cerai secara fasakh yang sepatutnya didengar pada hari ini.

No comments:

Post a Comment