Monday, April 16, 2012

117 tahun

Sayur, air suam rahsia usia 117
Oleh Mohammad Ishak
bhnews@bharian.com.my
2012/04/16

PAK MAN  membaca al-Quran tanpa menggunakan cermin mata sambil diperhatikan isterinya, Saadiah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Denger, Jertih, semalam.
PAK MAN membaca al-Quran tanpa menggunakan cermin mata sambil diperhatikan isterinya, Saadiah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Denger, Jertih, semalam.
Pak Man pernah nikahi lapan isteri disahkan tiada masalah kesihatan serius

JERTIH: Walaupun sudah berusia 117 tahun, ingatan Abdul Rahman Abu Bakar, masih segar dan keinginan untuk bersama wanita tetap kuat, malah mungkin dapat mengatasi keupayaan sesetengah lelaki lain.
Itulah kelebihan dimiliki Abdul Rahman atau lebih dikenali Pak Man dari Kampung Denger, dekat sini, yang masih gagah dan sihat, malah boleh bertutur dengan baik berbeza dengan kebanyakan rakan apabila mencapai usia emas.
Bukan itu saja, paling menarik lelaki ini pernah bernikah lapan isteri dengan isteri pertama dikahwininya ketika berusia 20 tahun, manakala isteri kelapan ketika berumur 80 tahun.

Pak Man bijak mengemudi rumah tangga dengan semua isteri yang pernah dikahwininya, apabila mampu mengawal kehidupan berkeluarga tanpa sebarang sengketa dengan pasangannya.

Ketika ditemui di rumahnya semalam, Pak Man mengakui perlu ada rahsia tersendiri untuk terus kekal sihat dan mempunyai isteri sehingga sekarang, meskipun sudah agak berusia.

Satu-satunya isteri masih bersamanya ialah, Saadiah Hamat, 71, manakala yang lain sudah meninggal dunia.
“Isteri yang lain meninggal kerana sakit tua dan hasil perkahwinan saya dikurniakan lapan anak dan 25 cucu,” katanya.

Dilahirkan pada 1895, Abdul Rahman yang ketika muda bekerja sebagai tukang rumah dan melalui kehidupan zaman penjajah bersyukur kerana masih dilanjutkan usia dan dapat menikmati segala kemudahan disediakan kerajaan.

Beliau berkata, sepanjang berumahtangga hanya sekali dapat berkongsi hidup dengan tiga isteri serentak.

“Saya bersyukur dengan kesihatan dan rezeki kurniaan Allah dan gembira melihat anak berjaya dalam hidup,” katanya.

Abdul Rahman mampu mengaji al-Quran, membaca akhbar serta buku tanpa menggunakan kaca mata dan penglihatan matanya masih baik.

Menceritakan rahsia menjaga kesihatan, Abdul Rahman berkata, sejak kecil dia tidak suka makan makanan berlemak, sebaliknya gemar memakan sayur dan air suam.
“Walaupun pernah menghisap rokok, tetapi selepas usia 50 tahun, saya cuba berhenti merokok.

“Saya juga disahkan doktor tidak mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis seperti yang lazim dialami individu seusia lain,” katanya.
Petua Pak Man 117 tahun masih sihat

15 April 2012

BESUT - Amalan pemakanan dan cara hidup sihat membolehkan Abdul Rahman Abu Bakar yang lebih dikenali dengan nama Pak Man dari Kampung Dengir, Bukit Puteri, di sini masih sihat walaupun usianya mencecah 117 tahun.

Dengan berpandukan petua tidak makan makanan manis, masin dan berlemak sejak muda lagi, kini Pak Man masih aktif bergerak tanpa sebarang penyakit kronik.

Bekas tukang rumah yang mungkin layak dinobat warga tertua di negara ini juga tidak memerlukan sebarang alat bantuan seperti tongkat atau cermin mata untuk menjalani kehidupan seharian.

"Sejak dari muda ambo (saya) tak suka minum air batu (minuman berais) atau merokok malah lauk-pauk saya pun berasaskan ulam dan sayuran kampung tanpa menggunakan santan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, beliau sejak muda, beliau berpantang daripada mengambil minuman sejuk dan mengamalkan meminum air suam walaupun tidak dapat menahan dahaga bekerja seharian di bawah panas terik ketika membina rumah.

"Kemungkinan dengan cara beginilah agaknya ambo dianugerahkan ALLAH kesihatan dan jarang ditimpa penyakit-penyakit, kecuali demam sekali-sekala," katanya.

Beliau yang masih mempunyai ingatan yang baik mendakwa telahpun berumur 12 tahun ketika membuat kad pengenalan pada Februari 1907.

Pak Man berkata, sepanjang hidupnya beliau berkahwin dengan lapan wanita tempatan dan daripada perkahwinan itu beliau dikurniakan seramai lima orang anak iaitu seorang perempuan dengan isteri yang kelima dan dua lelaki dan dua perempuan dengan isteri ketujuh.

Beliau kini mempunyai 25 cucu dan enam cicit.

Katanya, buat masa ini beliau tinggal bersama isterinya yang kelapan, Saadiah Hamat, 71, setelah kematian isteri-isterinya yang lain.

Katanya, beliau telah agak lama berhenti sebagai tukang kayu namun kini masih giat ke kebun setiap petang untuk mengeluarkan peluh.

Beliau berkata, amalan masyarakat kini sangat jauh berbeza dengan orang zaman dahulu, terutama sekali sangat gemar mengambil makanan dan minuman ringan serta berlemak, mungkin menjadi punca mereka mudah diserang penyakit walaupun dalam usia muda.

Jelasnya, ibu bapa seharusnya menjaga aspek pemakanan terutama di kalangan generasi muda termasuk kanak-kanak lagi bagi mengelak terlalu mudah dihinggapi penyakit seperti kencing manis, darah tinggi atau jantung.

"Yang penting jangan sesekali merokok kerana ia juga punca utama segala penyakit," katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment