Bas ekspres belum serik
SAYA menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan hampir setiap hari. Menonton berita TV pada (Jumaat, 13 April 2012), tentang kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan dengan bas ekspres, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sendiri.Bas dan lori berat merupakan kenderaan berat, dan harus berada di lorong kiri sekali di lebuh raya, dengan kelajuan maksimum 90 km/jam.
Apa yang saya perhatikan, pemandu bas ekspres (termasuk bas persiaran dan lori besar yang lain) seolah-olah berlumba dengan pemandu kenderaan yang lain.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya memandu di lorong tengah lebuh raya dengan kelajuan 100 km/jam. Di belakang saya, bas yang saya kira seharusnya berada di lorong kiri sekali, mengikut dengan rapat di belakang kereta saya. Tidak cukup dengan itu, pemandu bas tersebut memberi lampu tinggi kepada saya, diikuti dengan membunyikan hon.
Sebelum sempat saya bertindak, bas tersebut telah memotong kereta saya mengikut laluan kiri lebuh raya, tanpa memberi signal dan terus masuk ke lorong tengah semula dalam keadaan yang sangat rapat dengan kereta saya . Ini menyebabkan kereta saya tersasar, namun syukur saya sempat mengawal keadaan.
Lebih memeranjatkan, perkara ini seringkali berlaku dan hampir setiap hari, pemandu bas melakukan tindakan provokasi di atas jalan raya dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Ada beberapa penumpang yang menaiki bas ekspres, dari Johor ke Kuala Lumpur (jarak lebih kurang 350 km) memberitahu, mereka tiba di Kuala Lumpur dalam masa hanya 2 jam 30 minit. Tidak hairanlah sekiranya pemandu bas berkenaan bertindak liar di lebuh raya, untuk mengejar masa ketibaan.
Apa yang saya kesalkan ialah tindak-tanduk kasar dan liar pemandu bas yang tidak menghormati pengguna jalan raya yang lain. Perkara ini yang mengakibatkan indeks kemalangan jalan raya di negara kita semakin tinggi dari hari ke hari.
Saya mohon pihak bertanggungjawab seperti Polis Diraja Malaysia, JPJ, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan badan-badan lain untuk mengambil tindakan selanjutnya ke atas pemandu bas yang memandu melebihi had laju, sebelum lebih banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban di jalan raya.
No comments:
Post a Comment