Tuesday, April 17, 2012

5 kahwin serentak

ARKIB : 16/04/2012

Lima beradik bersanding serentak di Taiping


DARI kiri; Iqram Mohd. Idrus bersama isterinya, Azulia Ibrahim, Izzwan Mohd. Idrus, Elyana Ziezie Mohd. Tarmizi, Jamalullail Salim, Ilyana Mohd. Idrus, Izzad Mohd. Idrus, Nurdidi Zainuddin, Siti Hajar Hamid dan Izzman Mohd. Idrus memotong kek bersama ketika persandingan lima beradik serentak di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Kamunting, semalam.


TAIPING 15 April - Hari ini pasti menjadi kenangan paling diingati pesara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Mohd. Idrus Mohd. Zain, 59, dan isteri, Faridah Budin, 57, apabila menyambut bukan sahaja seorang tetapi lima menantu serentak.
Kelima-lima anak pasangan itu, Ilyana Mohd. Idrus, 31; Izzwan Mohd. Idrus, 30; Izzad Mohd. Idrus, 29; Iqram Mohd. Idrus, 26, dan Izzman Mohd. Idrus, 25 diraikan pada majlis persandingan yang berlangsung meriah.
Majlis yang dianggap cukup bersejarah bagi keluarga itu diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Kamunting dekat sini dengan kehadiran kira-kira 5,000 jemputan.
Kemunculan kelima-lima pengantin pada pukul 12 tengah hari dimulai dengan Ilyana, bersama pasangannya, Jamalullail Salim, 31, dengan diikuti pasangan Izzwan bersama Elyana Ziezie Mohd. Tarmizi, 30; Izzad dan Nurdidi Zainuddin, 28; Iqram dan Azulia Ibrahim, 25, serta Izzman bersama Siti Hajar Hamid, 25.
Mohd. Idrus ketika ditemui selepas majlis berkata, impian sekian lama untuk melihat anak-anaknya melangsungkan perkahwinan akhirnya tercapai.
Lebih menggembirakan lagi katanya, apabila persandingan tersebut diadakan serentak dan ia disifatkan sebagai hadiah bermakna sempena meraikan persaraannya baru-baru ini.
''Dulu saya tengok sahaja kawan-kawan menyambut menantu sedangkan saya masih belum ada seorang pun menantu.
''Hari ini bukan seorang sahaja menantu yang saya dapat, malah lima sekali gus dan ini memang sangat-sangat menggembirakan hati saya sebagai seorang bapa," katanya.
Sementara itu, Izzad yang merupakan perancang utama majlis tersebut berkata, idea mengadakan majlis persandingan serentak itu timbul apabila melihat kelima-lima adik-beradiknya melangsungkan pertunangan tahun lalu.
Katanya, bagi memudahkan kelancaran majlis memandangkan tetamu yang akan diundang merupakan tetamu yang sama, maka mereka mengambil keputusan mengadakan majlis persandingan serentak.
''Pada mulanya cuma cadangan sahaja dan apabila semua adik-beradik bersetuju, maka kami teruskan rancangan ini malah keluarga mertua masing-masing juga tidak keberatan.
''Bagi memastikan majlis berjalan lancar, kami bukan sahaja mengadakan beberapa siri perbincangan malah turut menyediakan kertas kerja," ujarnya.

No comments:

Post a Comment