Monday, April 30, 2012

artis

ARKIB : 29/04/2012

Bukan perang siapa popular

TIDAK akan sesekali takut jika keadilan yang mahu dicari. Prinsip itu cukup kuat dipegang oleh wanita bernama Lutfyah Sheikh Omar, 27, ini yang lebih selesa dipanggil Lufya.
Segala-galanya bermula dengan tindakan Lufya yang kerap memberi kenyataan berhubung isu wajahnya yang dikatakan serupa dengan pelakon kontroversi Zarina Anjoulie Lavocah.
Entah dari mana datangnya dakwaan sebegitu. Entah siapa yang memulakannya dahulu.
Lalu menyebabkan wanita ini terjebak ke dalam kontroversi meleret yang mungkin bagi sesetengah pihak cuma satu isu remeh.
Bagi penyanyi yang lahirnya dari program realiti Akademi Fantasia musim 6 (AF6) ini, jika sudah sampai ke tahap menerima gangguan seksual, ia bukan lagi satu perkara ringan yang boleh dilupakan begitu sahaja.
Dituduh berperangai ala perempuan murahan, dikecam hebat dan pernah berhadapan dengan kejadian biadap dek sang lelaki durjana, Lufya tidak dapat menerima hakikat bahawa itu semua berpunca daripada kekeliruan umum antara dia dan pelakon Anak Pontianak itu.
Kerana itu, dia berani tampil bersuara apabila disoal dan ditanya. Semuanya semata-mata untuk menegakkan keadilan dan memberi penjelasan kepada mata umum.
“Berhentilah memanggil saya Zarina Anjoulie. Saya bukan dia!" pinta Lufya yang kini berhadapan dengan kemelut `perang’ yang dilancarkan oleh Zarina baru-baru ini.
Lufya sebenarnya benar-benar tidak menyangka bahawa Zarina serius memandang penjelasannya selama ini sebagai satu ancaman.
Walhal, tujuan utama Lufya cuma untuk menjernihkan pandangan kabur orang ramai yang menyangkakan dia ialah Zarina, wanita yang pernah tampil dengan aksi berani mati sebelum ini.
“Dia mahu lancar perang? Kelakar juga ya. Bukan apa, saya tak sangka dia ambil benda ni dari sudut negatif.
“Dia mendakwa, saya mahu cari publisiti murah dengan menggunakan nama dia. Mahu lihat siapa lebih popular? Terus-terang, ini bukan soal cari publisiti atau perang siapa lebih popular. Ini soal maruah.
“Bayangkan, kalau sampai orang meraba kita di khalayak ramai tanpa kerelaan saya? Wajarkah saya berdiam? Orang ingat sayalah si seksi tu. Tolonglah!
“Mungkin pada dia, itu semua tak ada apa-apa. Benda tak jadi pada dia bolehlah dia cakap macam tu. Dia ingat saya cerita sebab saya suka dengan apa yang saya alami itukah? Dia silap.
“Mungkin juga dia tak faham apa sebenarnya yang saya cuba jelaskan. Atau mungkin juga dia faham tapi buat-buat tak faham, " katanya.
Menurut Lufya, sedikit pun di hatinya tidak pernah timbul soal mencari publisiti begini kerana baginya, biarlah naiknya lambat, asalkan bukan dengan kontroversi.
Baginya kejayaan akan datang jika nama baik keluarga terjaga. Oleh itu, dia seboleh-bolehnya mahu menjaga nama dan maruah keluarga agar tidak terhiris dengan perkara-perkara tak sepatutnya.
Namun, sebagai manusia kerdil, dia tidak dapat menolak dugaan hebat ini yang telah menyebabkan keluarganya juga turut menerima tempias.
“Pernah ibu saya ditanya orang, `eh anak kamu bergambar bogel ya? ‘. Bayangkan apa perasaan ibu saya ketika itu? Walhal saya tak pernah buat perangai tak elok, apalagi berbogel atau memakai pakaian seksi.
“Saya ni anak sulung, saya juga perlu menjaga nama adik-beradik saya yang lain yang rata-rata mereka juga berkerjaya.
“Namun mujurlah ibu dan ayah tahu saya bagaimana orangnya. Mereka benar-benar tabah saat menerima dugaan ini dan sentiasa meletakkan kepercayaan mereka pada saya," katanya.
Merasakan dirinya sebenarnya mangsa keadaan, jauh di sudut hati, Lufya benar-benar berharap agar isu ini dihentikan.
Pun begitu, dalam kekusutan, dia juga mengaku bahawa isu yang timbul sebenarnya membawa hikmah yang tersendiri.
Baik untuk Lufya mahupun Zarina sendiri.
“Saya harap dia lihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif. Bukan saya yang sengaja menimbulkan kontroversi menggunakan isu wajah serupa. Sikit pun tiada unsur rekaan cerita. Apa yang saya alami adalah benar.
“Langsung tidak ada niat untuk mengaibkan dia. Tapi saya perlu berdiri untuk menjelaskan keadaan apabila sering menjadi mangsa bahan kutukan orang.
“Namun, jika perang yang dia mahukan, itu terpulang pada dia. Saya tak akan goyah dengan pendirian untuk menegakkan kebenaran," katanya.
Rumah mewah Lufya
Ada rumah mewah dan dianggarkan bernilai jutaan ringgit. Itu juga menjadi satu persoalan bagi mereka yang tahu mengenai satu lagi kisah yang mungkin sedaya-upaya cuba disorok oleh Lufya.
Lalu, timbullah pula satu lagi cerita bila mana Lufya didakwa telah ditaja oleh individu tertentu sehingga boleh meraih kemewahan begitu.
Kebetulan pula, dari segi karier, Lufya tidaklah terlalu menyerlah sebagaimana artis kelas A yang tidak perlu lagi dipertikaikan sumber kewangannya.
Jadi benarlah dia ditaja orang? Datuk kah? Tan Sri kah? Hanya Lufya sahaja yang mempunyai jawapan.
“Tentang rumah itu, saya tidak akan mengiyakan atau menidakkan. Cuma apa yang saya boleh katakan ialah Alhamdulillah, segala usaha saya selama ini mendatangkan hasil.
“Tak baik menuduh saya ditaja. Kalau saya memperolehi rumah itu pun, ia adalah daripada hasil titik peluh saya sendiri.
“Jangan ingat saya tak sering keluar di surat khabar, majalah dan sebagainya, saya ni tak ada kerja.
“Alhamdulillah kerjaya saya berjalan lancar. Rezeki sentiasa mencurah. Itu saja yang boleh saya cakap, " ujarnya.
Mahu serius berlakon
Tatkala berbicara mengenai perkembangan kariernya, anak jati Johor Bharu, Johor ini lancar sahaja bercerita.
Rupa-rupanya dia bukanlah seorang yang cuma duduk diam menanti kerja datang pada dirinya.
Lufya selain sibuk menghadiri undangan nyanyian untuk majlis korporat dan tertutup juga turut mengisi kebanyakan masanya dengan menulis lirik dan menggubah lagu.
Jangan tak tahu, setakat ini sudah lebih 30 lagu yang telah dihasilkan oleh Lufya.
Namun, yang paling mendapat tempat di hati peminat ialah singlenya yang berjudul Diam.
Kata Lufya, dia mula serius dalam bidang gubahan lagu sejak tiga tahun lepas.
“Saya suka menulis lirik. Paling saya idamkan ialah melihat karya saya dijadikan runut bunyi untuk sesebuah drama atau filem. Itu adalah hasrat saya.
“Sekarang, saya sedang berusaha membawa karya saya kepada pihak yang berkenaan terutama pihak produksi untuk dipertimbangkan bagi tujuan itu," katanya.
Selain itu, Lufya juga sedang mencari ruang dan peluang untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
“Nyanyian memang sentiasa menjadi keutamaan saya.
“Namun kini, saya fikir, sudah tiba masanya untuk saya serius dalam bidang lakonan sebab saya berani sahut cabaran.
“Kalau boleh, saya nak jadi macam Agnes Monica. Dia berlakon dan lagunya juga menjadi runut bunyi dalam setiap drama atau filem lakonannya. Bukankah itu menarik?" katanya yang turut menjadi hos untuk program Jamming dan Podium.
Jejaka Sweden di hati
Lanjut bercerita mengenai cinta, Lufya yang pada awalnya malu-malu untuk berkongsi, bagaimanapun mengaku hatinya kini sudah dimiliki.
Malah kata Lufya, orangnya juga bukan yang dekat-dekat. Nun jauh bermastautin di Sweden.
Berusia tiga tahun lebih tua daripadanya, Lufya tidak menafikan bahawa dia kini selesa berdampingan dengan jejaka yang namanya dirahsiakan itu.
Walaupun cinta jarak jauh bukanlah apa yang pernah terfikir di benaknya, Lufya bagaimanapun akur dengan ketentuan Tuhan seandainya ini adalah jodoh buatnya.
“Saya belum bersedia untuk memperkenalkan dia kepada umum. Cukuplah saya beritahu, dia berdarah campuran Melayu-Arab dan tinggi lampai orangnya.
“Kami dah berkawan sejak tujuh bulan lepas. Disebabkan kami jarang bertemu, Skype adalah medium yang sentiasa menjadi penghubung kami. Nak buat macam mana, cinta jarak jauhlah katakan," candanya.
Diusik bagaimana perkenalan bermula, Lufya cuma tersenyum sebelum mengaku belum bersedia untuk menceritakan segala-galanya.
“Cukuplah saya katakan, saya suka dengan caranya yang pandai membawa diri walaupun menetap di negara orang dan saya selesa berkawan dengannya," katanya.
Ditanya sama ada dia sudah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya dalam hubungan, Lufya pantas menolak usikan itu.
“Belum ke situ lagi. Tapi insya-Allah, saya akan bertemu dengan keluarganya pada bulan Jun ini memandangkan mereka sekeluarga akan pulang ke Malaysia untuk bercuti.
“Itu cuma perjumpaan biasa. Jangan cuba nak spekulasi ya! Jauh lagi untuk saya memikirkan soal perkahwinan. Namun kalau jodoh itu sampai, siapalah saya untuk menolak, " candanya lagi.

No comments:

Post a Comment