Kereta mewah hanya RM7,600
19 April 2012
KUANTAN - Seorang penjawat awam hampir membawa pulang sebuah kereta jenis Toyota Camry berharga lebih RM100,000 dengan bayaran hanya RM7,600 selepas memenangi ‘hadiah’ luar biasa yang ditawarkan dua jurujual dipercayai anggota sindiket gores dan menang, di sini, kelmarin.
Malah wakil syarikat terbabit bersedia memberi diskaun lebih 50 peratus apabila hanya meminta wanita itu membayar RM3,000 disebabkan ketidakmampuannya menyediakan RM7,600 seperti yang ditawarkan sebelum itu.
Mariah, 51 (bukan nama sebenar) yang nyaris tertipu mendakwa, bayaran kononnya untuk cukai dan kos proses itu perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum dia layak menuntut hadiah terbabit.
Menurutnya, dia terpaksa ‘melepaskan’ hadiah itu kerana tidak mempunyai wang seperti yang diminta bagaimanapun wakil syarikat terbabit mendesaknya supaya mencari jalan mendapatkan wang tersebut.
“Mereka mendesak saya meminjam wang daripada saudara mara dan rakan-rakan atau menggadai barang kemas yang dipakai untuk mendapatkan wang tersebut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mariah berkata, dia terserempak dengan dua jurujual itu ketika meletakkan kereta di tempat letak kereta sebuah pusat membeli belah di sini, kira-kira jam 4 petang, Isnin lalu.
Dia berkata, dia bersama dua anaknya didatangi jurujual lelaki dan wanita itu sebelum mereka meminta saya membuka dua kupon cabutan bertuah yang kononnya menawarkan hadiah lumayan.
“Saya buka kupon pertama namun hanya tertera perkataan terima kasih namun setelah membuka kupon hadiah istimewa, jurujual lelaki berusia 28 tahun terus melompat kegembiraan sambil memberitahu saya bertuah kerana memenangi hadiah berupa sebuah kereta Toyota Camry.
“Mereka meminta saya datang ke pejabat mereka di Galing untuk proses menuntut hadiah itu,” katanya.
Mariah berkata, dia bersetuju dan terus menaiki kereta untuk ke pejabat syarikat terbabit sambil ditemani dua jurujual tersebut yang turut menaiki keretanya.
“Apabila sampai di pejabat itu, saya agak curiga apabila melihat keadaan dalam premis agak kosong seolah-olah pejabat sementara.
“Seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pengurus bersama beberapa kakitangannya datang menemui saya dan menjelaskan syarat untuk saya penuhi sebelum layak menerima hadiah tersebut,” katanya.
Menurutnya, dia memang tidak mempunyai wang sebanyak itu dan terpaksa menolak sebelum beredar.
“Sebenarnya saya tidak percaya dan mensyaki mereka sindiket gores dan menang yang banyak memperdaya hingga ada mangsa mengalami kerugian ribuan ringgit,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang, Mohd A Aruwan A Aziz berkata, pihaknya sentiasa mempergiatkan usaha memantau kegiatan itu dari masa ke semasa di kawasan yang dikenal pasti.
Menurutnya, PPDNKK juga ada menahan jurujual yang disyaki terlibat dalam kegiatan ini untuk membantu siasatan namun ada segelintir daripada terus berdegil apabila kembali meneruskan aktiviti itu.
No comments:
Post a Comment