Empat kali wang lesap
Wartawan Sinar Harian
20 April 2012
KERATONG – Masjid At-Taqwa Felda Keratong 4, di sini, bukan saja dikunjungi jemaah untuk menunaikan solat, malah ia sering menjadi sasaran tetamu tidak diundang apabila wang tabung masjid itu kerap ‘lesap’ dikebas pencuri.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang masuk ke dalam masjid selepas semua jemaah selesai menunaikan solat Asar.
Malah, kejadian sama berlaku sebanyak empat kali dalam tempoh dua tahun dan terbaru berlaku pada Khamis lalu apabila sebuah tabung dipecahkan pencuri, manakala sebuah lagi dibawa lari.
Jawatankuasa masjid tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan ‘mat gian’ yang terdesak untuk mencari wang hingga sanggup menjadikan rumah ibadat sebagai tempat melakukan tindakan terkutuk tersebut.
Terkejut dapati tabung hilang
Bendahari masjid, Sadri Anwari berkata, dia menyedari mengenai kejadian itu ketika mahu menunaikan solat Maghrib selepas mendapati sebuah tabung yang terletak di bahagian belakang tiang masjid tersebut terkopak.
Katanya, dia semakin terkejut apabila mendapati sebuah lagi tabung yang diletakkan di bahagian tiang dinding masjid itu turut hilang.
“Kejadian itu hanya disedari ketika saya mahu menunaikan solat Maghrib apabila mendapati sebuah tabung dikopak, manakala sebuah lagi dikebas pencuri,” katanya.
Sadri berkata, nilai keseluruhan wang di dalam kedua-dua tabung itu dianggarkan sebanyak RM500.
“Wang tersebut adalah hasil sumbangan peneroka di sini yang datang ke masjid untuk menguruskan pernikahan anak mereka atau mengadakan kenduri,” katanya.
Sadri mengakui masjid itu tidak berkunci kerana jawatankuasa masjid sepakat untuk tidak mengunci pintu gelangsar masjid bagi memudahkan umat Islam menunaikan solat.
“Masjid ini rumah ALLAH. Jadi, kami tiada hak untuk mengunci rumah ibadah ini kerana ia sentiasa terbuka kepada umat Islam yang datang beribadah. Namun, ada pula pihak tidak tahu hukum agama hingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk seperti itu,” katanya.
Empat kali dipecah masuk
Bilal, Baharuddin Ahmad berkata, kejadian itu bukan kali pertama kerana sebelum ini, masjid tersebut pernah dipecah masuk pihak tidak bertanggungjawab sebanyak tiga kali.
Menurutnya, pada tahun lalu, semua wang turut lesap apabila tabung simen masjid di bahagian belakang masjid ditebuk, malah jam paparan waktu solat berharga RM2,000 turut dikebas pencuri dalam kejadian itu.
Selain itu katanya, dua kipas kaki yang terdapat di dalam masjid itu juga pernah dikebas pencuri.
“Perbuatan itu menunjukkan betapa rendahnya akhlak pelaku perbuatan tersebut hingga sanggup menjadikan rumah ibadah sebagai port untuk mereka mencari wang haram,” katanya.
Jemaah berputih mata
Seorang jemaah, Saari Md Taib, 58, berkata, dia terpaksa berputih mata apabila motosikal yang digunakannya untuk berulang-alik ke masjid itu hilang sebaik saja dia menunaikan solat.
“Sebaik keluar daripada pintu, saya terkejut apabila mendapati motosikal diletakkan di tepi masjid sudah tiada lagi,” katanya.
Menurutnya, bukan sahaja dia, malah rakan lain juga pernah mengalami nasib sama.
“Saya difahamkan, tidak kurang enam jemaah di sini kehilangan motosikal ketika mereka sedang menunaikan solat,” katanya.
Imam masjid itu, Jelani Mat Ya berkata, perbuatan itu disifatkan sangat terkutuk dan dilaknat ALLAH, lebih-labih lagi ia dilakukan di tempat mulia.
“Kita berharap pihak terbabit segera insaf kerana perbuatan yang itu dimurkai ALLAH. Duit hasil curi diperoleh mereka itu juga tidak berkat,” katanya.
No comments:
Post a Comment