Thursday, April 12, 2012

45 tahun baru jumpa semula

ARKIB : 10/04/2012

Rakan sekelas bertemu selepas 45 tahun


Abdullah Sani Juraimi (duduk, lima dari kiri) menunjukkan gambar kelas ketika berusia 12 tahun pada majlis pertemuan semula bekas murid Special Malay Class 1 - 1962 (SMC), National Type Primary School English Tapah di Rumah Rehat Tapah, Perak, baru-baru ini.


TAPAH 9 April - Selepas lebih 45 tahun berpisah, seramai 20 bekas pelajar National Type Primary School English Tapah bertemu semula dalam satu majlis di sini, Sabtu lalu.
Walaupun masing-masing sudah berusia, ikatan persahabatan yang terjalin sejak lima dekad lalu masih kukuh sekali gus mengimbas semula kenangan indah zaman persekolahan mereka sekitar 1960-an.
Semuanya hasil inisiatif bekas Ketua Darjah Special Malay Clas (SMC), Datuk Abdullah Sani Juraimi yang bertungkus-lumus sejak dua bulan lalu menjejaki semula rakan-rakan.
Berbekalkan sekeping gambar lama, Abdullah Sani, 60, menjelajah Semenanjung selain memanfaatkan kemudahan laman sosial Facebook.
"Saya mula mengesan rakan-rakan sejak 15 Januari lalu dan sebagai ketua darjah, saya masih lagi ingat nama dan tempat tinggal mereka ketika itu. Bermula dari situ, saya mula mencari, termasuk melalui Facebook, tetapi dapat bertemu dengan beberapa orang sahaja.
"Selepas itu, menggunakan pengalaman sebagai anggota polis selama 36 tahun, saya turun ke kampung-kampung sehingga ke Alor Setar untuk menjejaki mereka," katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pertemuan mereka di Rumah Rehat Tapah di sini Sabtu lalu.
Pertemuan bermakna itu turut diisi dengan tahlil untuk tujuh rakan sekelas mereka yang telah meninggal dunia. Selain itu, mereka turut mengadakan kutipan derma bagi membantu seorang lagi rakan mereka yang kini sudah uzur dan tidak mampu lagi melihat dan bergerak.
Sementara itu, Saadah Mohd. Zanudin, 60, berkata, pertemuan itu mengembalikan nostalgia mereka yang sama-sama menuntut dalam darjah empat di sekolah Inggeris berkenaan yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Satu Tapah.
"Dahulu kami macam adik-beradik. Saya masih ingat jika ada kelas petang, kami singgah dulu di Sungai Batang Padang untuk 'berkelah'. Ada yang mandi, bawa bekal ikan rebus, duduk makan sama-sama sebelum ke sekolah.
"Cikgu pula benar-benar ingin lihat kesungguhan kami menguasai bahasa Inggeris. Kalau bercakap gunakan bahasa Melayu dalam kelas, kami akan didenda lima sen, ketika itu lima sen nilainya sangat besar," katanya yang juga bekas penolong ketua darjah.
Tambah Saadah, untuk memasuki SMC ketika itu bukan mudah kerana mereka perlu lulus beberapa ujian penilaian untuk menyambung pelajaran di sekolah aliran Inggeris.
"Gembira melihat ramai kawan-kawan sudah berjaya. Ada yang kini pesara kerajaan dan swasta, bekerja sebagai jurutera, guru, pengurus bank, tentera dan polis, malah ada yang berjaya sebagai ahli perniagaan," katanya.

No comments:

Post a Comment