Friday, April 13, 2012

port gian dlm hutan

Port gian dalam hutan
Wartawan Sinar Harian
13 April 2012
kabel
suspek larikan diri
BUKIT CHATAK – Kelicikan seorang pengedar dadah yang menjadikan hutan rimba sebagai port untuk mempelawa pelanggan bagi melepaskan gian dadah terbongkar, apabila lokasi persembunyiannya diserbu polis petang kelmarin.

Menjadikan sebuah pondok yang dibina daripada kayu hutan serta beratap daun kelapa dalam semak samun, kehadiran tauke dadah di istana hinggap setiap jam 10 pagi itu pasti dinanti oleh sekumpulan penagih yang ingin mendapatkan bekalan.

Bagaimanapun segalanya terungkai apabila polis berjaya mengesan tempat persembunyian mereka setelah mendapat maklumat berkaitan kewujudan satu denai memasuki hutan terbabit.

Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah melakukan pemeriksaan sepanjang denai dalam semak belantara itu sebelum menemui sebuah pondok kira-kira 100 meter dari lereng bukit, tidak jauh dari lokasi perumahan penduduk itu.

Akhirnya, satu operasi khas dilancarkan untuk menyerbu tempat persembunyian itu kira-kira jam 5 petang kelmarin bagi menyelongkar aktiviti mereka yang terlibat, sebelum terserempak dengan sekumpulan penagih yang dipercayai sedang gian.


Sembunyi dalam semak

Menyedari kehadiran polis, beberapa penagih yang dipercayai baru tiba di pondok berkenaan lari menyembunyikan diri ke dalam semak yang difahamkan turut didiami haiwan buas itu, namun salah seorang daripada mereka, dipercayai dalang utama yang diburu polis itu berjaya dicekup.

Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dua botol serbuk putih disyaki dadah jenis Morfin dalam beg bersama suspek.

Suspek utama, 38, yang sempat ditemu bual Sinar Harian ketika menyertai operasi khas itu mengakui, dia baru dibebaskan dari penjara selepas setahun menjalani hukuman atas kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.


Elak dihidu pihak polis

Katanya, pondok ala rumah tarzan di dalam semak samun itu dibina beberapa hari lalu bersama beberapa rakan lain untuk tujuan melepaskan gian selain bagi mengelak dari dihidu polis.

Menurut lelaki yang menetap di Sungai Buaya itu, setiap hari, kira-kira jam 10 pagi, dia akan memasuki hutan itu untuk menemui rakannya lain.

Difahamkan, ada diantara rakan suspek turut terlibat dengan kegiatan jenayah pecah rumah berdasarkan penemuan beberapa peralatan memotong besi serta pemutar skru.

Pihak polis juga berjaya menemui wayar getah serta kesan kebakaran tidak jauh dari pondok itu, dipercayai angkara penjenayah meleraikan wayar kabel yang dicuri di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah mengapa penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran tidak menyedari kehadiran sekumpulan penagih yang sering memasuki laluan denai itu selain tiada tindakan dilakukan pihak berkaitan untuk membersih kawasan semak samun yang dijadikan sarang penagih itu.

Apa yang dikesali, selepas polis keluar dari tempat persembunyian itu, tiada seorang penduduk pun yang keluar untuk bertanya khabar, apatah lagi untuk menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis membanteras gejala penyalahgunaan dadah di kawasan kediaman mereka.

Suspek yang pernah ditahan beberapa kali sebelum ini atas kesalahan memiliki dadah itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah untuk siasatan lanjut.

Ujian saringan air kencing mendapati lelaki yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan itu didapati positif dadah jenis Methapethamine.

Dia ditahan reman untuk disiasat mengikut seksyen 39 A (1), serta 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum menunggu laporan kimia untuk membolehkan dia disabitkan kesalahan bagi tujuan pendakwaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan terbabit.

“Polis juga turut menjalankan siasatan berkaitan penemuan peralatan pecah rumah yang mungkin ada kaitan dengan kes lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment