4 sekeluarga diserang kerana hutang lama
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Angkara hutang lama, empat sekeluarga diserang keluarga sepupunya ketika berada di sebuah pusat perubatan di ibu kota dipercayai bagi memalukan keluarga mangsa, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.50 malam, mangsa yang juga penjawat awam berusia 30-an membawa ibunya, seorang warga emas untuk menerima rawatan kecemasan di pusat perubatan itu.
Sumber polis berkata, ketika mangsa sekeluarga berada di pintu utama pusat perubatan, mereka didatangi sepupu dan bapa saudaranya.
“Pada mulanya, mangsa menyangka kedua-dua saudaranya itu datang untuk melihat keadaan ibunya, namun terkejut selepas sepupunya menyerang mangsa sebelum menumbuk adik lelaki dan kakaknya.
“Lebih kejam, bapa saudara mangsa turut menumbuk ibu mangsa yang menunggu untuk menerima rawatan,” katanya, semalam.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa sekeluarga cedera manakala ibu mangsa mengalami serangan jantung sebelum dibawa masuk ke dalam pusat perubatan.
Katanya, keluarga mangsa pernah diugut keluarga sepupunya kerana hutang berkenaan, bagaimanapun tidak menyangka mereka menyerang mangsa sekeluarga di tempat awam. Bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pantai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.
No comments:
Post a Comment