Sendayu Tinggi nafi jual produk berbahaya
18 April 2012
Pengarah Urusannya, Rozita Ibrahim berkata, tindakan berkenaan tidak mungkin dilakukan syarikat itu kerana mereka tidak mahu merosakkan nama baik syarikat yang dibina selama ini.
“Apa yang berlaku ujian daripada ALLAH SWT. Selama 16 tahun Sendayu Tinggi bertapak dalam industri ini, tidak mungkin kami sendiri akan rosakkan nama baik syarikat yang bersusah payah dibina.
“Sia-sia sahaja jika kami buat perkara demikian semata-mata mahu melariskan produk bernilai RM44 sahaja,” katanya.
Menurutnya, pihaknya memohon maaf terutama kepada pengguna dan penyokong setia produk Sendayu Tinggi.
“Semua formulasi produk Sendayu Tinggi daripada saya, namun, bukan kepakaran saya untuk memilih indikasi bahan mentah bagi membuat produk itu.
“Kami telah melantik ejen pembekal pakar dan memberi kepercayaan kepada mereka untuk mengambil formulasi bagi mencari bahan mentah tersebut,” katanya.
Rozita berkata, beliau bersyukur apabila pihak pembekal pakar pemakanan itu tampil memohon maaf atas kejadian berlaku.
“Saya ingin memohon maaf atas apa yang berlaku dan kita tidak akan melakukan tindakan yang tidak masuk akal dengan meletakkan Sibutramine ke dalam produk minuman pelangsing tersebut.
“Buat sementara waktu, syarikat terpaksa membekukan jualan produk terbabit sehingga siasatan dijalankan Kementerian Kesihatan selesai dua minggu lagi,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa produk lain syarikat itu yang berada di pasaran tidak merbahaya dan selamat digunakan.
“Kita hanya membekukan jualan produk terbabit sahaja ekoran siasatan Kementerian Kesihatan. Pengguna setia Sendayu Tinggi boleh mendapatkan produk lain syarikat di pasaran.
“Selepas ini, Sendayu Tinggi akan membuat analisis dan penyelidikan lebih terperinci ke atas produk yang akan dikeluarkan walaupun telah melantik pembekal seperti pakar pemakanan dan produk,” katanya.
Rozita turut memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan produk minuman pelangsing itu telah disabotaj individu tidak bertanggungjawab bagi memburukkan reputasi syarikat miliknya.
Sementara itu, wakil pembekal pakar pemakanan produk itu, Naziera Jaafar turut hadir untuk memohon maaf atas kejadian yang berlaku.
No comments:
Post a Comment