Monday, April 16, 2012

ijab di hospital

ARKIB : 15/04/2012

Selamat diijab kabul di wad hospital


Izman Mohamad (kiri) yang patah bahu dan hidung akibat kemalangan jalan raya dinikahkan oleh Yunos Bidin sambil diperhatikan oleh Murni Osman di Hospital Melaka, semalam. - MINGGUAN/GAIE UCHEL


MELAKA 14 April - Manusia mampu merancang, Tuhan menentukan segalanya.
Mungkin itulah kata-kata bidalan sesuai bagi menggambarkan majlis akad nikah Izman Mohamad, 35, dan isterinya, Murni Osman, 33, yang selamat diijab kabul di Wad D2, Hospital Melaka di sini hari ini.
Biar pun segala perancangan telah dilakukan, namun takdir menentukan majlis akad nikah berlangsung di wad tersebut setelah Izman ditimpa kemalangan jalan raya pada pukul 1 pagi, 6 April lalu.
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam 1 Masjid Fa'thur Rahman, Pengkalan Rama, Yunos Bidin, 64, pada pukul 10 pagi.
Izman yang memakai baju Melayu warna jingga muda dan bersongkok sambil duduk di atas kerusi roda menyempurnakan akad nikah dengan dua kali lafaz.
Suasana dalam wad itu juga penuh sesak dengan saudara-mara, sahabat handai serta media yang masing-masing ingin menyaksikan saat yang amat bermakna itu.
Mengulas majlis pernikahan itu, Murni berkata, ia terpaksa diteruskan walaupun suaminya itu dimasukkan ke wad selepas terbabit dengan kemalangan apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta Jumaat minggu lepas.
"Akibat kemalangan itu, suami koma selama tiga hari selain hidung dan bahu kirinya patah serta mengalami luka di paru-paru, namun pernikahan ini terpaksa diteruskan juga kerana segala persiapan sudah dibuat.
"Mungkin ada hikmah sebalik apa yang berlaku, kami ucapkan terima kasih kepada semua yang buat sambutan untuk majlis pernikahan kami," katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini.
Menurutnya, majlis persandingan yang diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) petang ini juga akan diteruskan seperti dirancang.
"Suami dibenarkan keluar dari Hospital Melaka buat sementara waktu untuk menghadiri majlis persandingan berkenaan," katanya sambil menambah mula mengenali suami sejak setahun lalu.
Sementara itu, Izman yang merupakan Pembantu Am Rendah di MBMB ketika ditemui tidak dapat mengulas mengenai majlis pernikahan berkenaan kerana masih lemah.

No comments:

Post a Comment