Wednesday, April 18, 2012

jual dara sunti

ARKIB : 17/04/2012

Anak gadis hanya dijual RM100


seorang wanita Kashmir bekerja di sebuah ladang di pinggir Srinagar. Golongan wanita di wilayah itu terutama yang bergelar balu sering berhadapan dengan pelbagai masalah dalam meneruskan kehidupan mereka. - REUTERS


KASHMIR memang terkenal dengan keindahan alam semulajadinya hingga meletakkan ia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di India.
Wilayah yang terletak di kawasan lembah Himalaya itu juga terkenal dengan kegiatan militan yang menuntut pembebasannya daripada kerajaan India hingga telah banyak memakan korban.
Di sebalik keindahan alam dan cerita perang, Kashmir turut menyembunyikan kisah kemanusiaan yang jarang didengar dan diketahui dunia luar.
Sudah menjadi amalan di kalangan lelaki-lelaki Kashmir untuk mencari kanak-kanak perempuan Islam dari wilayah-wilayah miskin lain di India untuk dijadikan isteri.
Sakina yang merupakan salah seorang anak gadis yang dijual oleh keluarganya kepada lelaki Kashmir kini terpaksa menanggung derita di tempat orang.
Dia yang kini berumur 22 tahun, telah dijual oleh keluarganya kepada lelaki Kashmir dengan harga 1,200 rupee (kira-kira RM100) ketika remaja.
Kakaknya yang bertanggungjawab terhadap urusniaga itu telah menipu Sakina dengan menunjukkan seorang lelaki muda yang kacak sebelum majlis perkahwinannya.
Tetapi Sakina terkejut apabila pada malam pertama perkahwinan itu didapati si suami adalah seorang lelaki tua berusia lebih 60 tahun.
Dia tidak terdaya untuk berbuat apa-apa kerana terhimpit dengan kemiskinan selain masih mentah. Tiada jalan keluar untuknya.
“Tiada siapa yang membantu saya,” katanya.
Selepas itu dia dibawa keluar dari kampungnya di Kolkata untuk tinggal di Pakharpora - sebuah kampung kecil di daerah Bugam di lembah Kashmir.
Perjalanan hampir 2,000 kilometer membawa Sakina bukan sahaja ke kawasan baru tetapi juga budaya yang serba baru.
Selepas beberapa ketika berlalu, Sakina masih belum dapat menerima lelaki tersebut sebagai suaminya. Lagi pula, suaminya itu bukan sahaja gagal memenuhi keperluan emosi, tetapi juga tidak mampu memberikannya kepuasan seks.
“Sejak dua tahun lalu dia mati pucuk sepenuhnya,” katanya.
Perempuan muda itu masih menyimpan impian untuk mengahwini lelaki yang disayanginya.
Tetapi kerana bimbang dipisahkan dengan dua orang anaknya, dia tidak mampu berbuat apa-apa.
Terdapat banyak lagi cerita yang sama seperti Sakina di Pakharpora dan perkampungan lain di kawasan lembah Himalaya itu.
Kanak-kanak perempuan Islam dari wilayah-wilayah miskin lain di India telah diserahkan oleh keluarga mereka kepada lelaki Kashmir pada bayaran antara 500 hingga 20,000 rupee.
Kanak-kanak tersebut yang selalunya tidak berpelajaran datang daripada keluarga miskin.
“Saya selalu dengar cerita menyayat hati ini dan amalan ini perlu dihentikan,” kata Lubna Khan, doktor wanita yang sering melawat kawasan pedalaman dan terpencil yang jarang dilawati orang luar.
“Apa yang tidak kena dengan lelaki-lelaki tua ini,” tanya Lubna.
Para aktivis tempatan berkata, perbuatan yang diibaratkan seperti menjual anak itu semakin menjadi-jadi di kawasan pedalaman sejak beberapa dekad lalu.
Fenomena lelaki Kashmir berkahwin dengan gadis-gadis di luar juga berpunca daripada wang hantaran yang terlalu tinggi.
Bagi Magboola Wani, seorang buruh umur pertengahan, dia memilih untuk ‘membeli’ pasangan hidup dari luar kelompok masyarakatnya bagi mengelakkan beban hantaran.
Katanya, dia tidak malu dengan keputusan itu. Sambil membelai janggut, Magboola berkata, kemiskinan menyebabkan mereka tidak mempunyai harapan untuk hidup secara normal.
Oleh itu, untuk memenuhi keperluan hidup termasuk memiliki pasangan, dia akan melakukan apa saja.
Bagi ibu bapa yang menjual anak gadis pula, soal wang juga menjadi percaturan. Wang juga yang menjadi pilihan kepada ibu bapa kepada remaja perempuan, Gausia yang berasal dari wilayah Hyderabad di selatan India.
Serba asing
Sudah menjadi budaya mereka pengantin perempuan perlu menyediakan wang hantaran untuk lelaki. Oleh itu, menjual anak merupakan pilihan yang lebih lumayan.
“Mereka cuma tidak mahu dibebani masalah kewangan. Ibu bapa saya tahu, saya tidak bahagia. Saya harap mereka akan menyesal selama-lamanya dengan perbuatan itu,” kata Gausia yang kini berusia 20-an.
Bagi para gadis yang menjadi mangsa jual beli itu, mereka bukan sahaja di bawa jauh dari kampung halaman, tetapi turut kehilangan identiti diri apabila nama asal ditukar oleh suami masing-masing.
Nama Gausia telah ditukar kepada Gulshan yang kedengaran lebih kepada dialek Kashmir.
“Dia (suami) lebih suka dengan sebutan nama baru ini,” kata Gausia.
Gausia yang suka nama lamanya juga tidak lagi bertutur dalam bahasa ibundanya iaitu Urdu.
Gausia bukan sahaja dipisahkan daripada keluarga, dia juga terpaksa hidup dan mempelajari budaya yang serba asing bagi dirinya.
Selain terpaksa membiasakan diri dengan cuaca sejuk Kashmir, makanannya juga agak berbeza. Antaranya, mereka minum teh dengan garam.
“Mereka tidak selalu menggosok gigi. Jadi mereka elakkan gula untuk atasi masalah gigi reput. Amat payah untuk mempelajari semua ini,” kata Gausia.
Walaupun telah bertahun, namun perasaan marah terhadap ibu bapa dan orang tengah tetap bersarang di hati para wanita yang menjadi mangsa jual-beli itu.
Ada yang masih memasang harapan untuk kembali ke kampung halaman asal. Sebelum kahwin memang mereka dijanjikan untuk pulang ke kampung halaman sekali-sekali. Tetapi janji itu tidak pernah ditunaikan kerana tidak mampu membayar tambang kereta api.
“Saya diberitahu, apabila seorang gadis itu berkahwin, dia mesti tinggal dan mati di rumah suaminya,” kata Gausia.

No comments:

Post a Comment