Tuesday, April 17, 2012

tertembak dapat gantirugi

Kerajaan bayar pemandu teksi ganti rugi RM33,000
KHALILAH GUSTI HASSAN
17 April 2012


KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju membayar ganti rugi RM33,000 kepada seorang pemandu teksi yang cedera di kedua-dua kakinya akibat ditembak anggota polis berhampiran Pejabat Pos Jalan Pudu, tahun lalu.

Persetujuan itu dimaklumkan oleh Nur Aqilah Ishak dari Jabatan Peguam Negara di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Unaizah Mohd, hari ini.

Unaizah dalam penghakimannya berkata, persetujuan itu direkodkan sebagai persetujuan tanpa pengakuan liabiliti.

"Ia muktamad," katanya.

Tahun lalu, Yeow Leong Kang, 43, memfailkan saman pemula di pejabat pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini.

Dia menamakan detektif Lans Koperal Norhesham Mohd Nor dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Dia menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas sebanyak RM14,000, ganti rugi teruk sebanyak RM100,000, ganti rugi teladan RM100,000 serta kos.

Dalam penyataan tuntutannya, Leong Kang mendakwa dia berada dalam teksi kira-kira jam 4.30 petang pada 23 September 2010 sebelum Norhesham melepaskan tembakan ke arah kakinya tanpa sebarang amaran.

Anggota berkenaan juga tidak memberikan alasan atas tindakannya itu.

Dia mendakwa, ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Norhesham ada melawatnya dan berulang-kali meminta maaf serta mengaku tersilap tembak.

Leong Kang menyatakan akibat tindakan Norhesham, dia mengalami kesakitan di kedua-dua kakinya serta pergerakannya terjejas.

Peguam Lim Lip Eng yang juga anggota Parlimen Segambut ketika ditemui berkata, persetujuan kerajaan untuk membayar ganti rugi terhadap Leong Kang membuktikan anak guamnya tidak bersalah.

"Bagi anak guam saya, apa yang penting bukanlah wang. Dia menanggung malu dan tertekan kerana akibat ditembak polis, kawan-kawan menganggap dia penjenayah," katanya.

Leong Kang yang tidak fasih berbahasa Melayu hanya tersenyum ketika diajukan soalan mengenai perasaannya atas persetujuan itu.

Difahamkan dia mengalami parut kekal kesan tembakan itu dan masih bekerja sebagai pemandu teksi.

No comments:

Post a Comment