Friday, April 20, 2012

tipu dalam line 3 juta

Ahli perniagaan rugi RM3.2 j
NURUL RIDUAN NOR ASHAHA
20 April 2012
Polis menahan suspek (duduk) dan merampas beberapa komputer riba, dokumen serta rekod panggilan
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket tipu dalam talian yang menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara dan Bukit Aman selepas menyerbu sebuah kondominium di Bukit Jalil, semalam.
Seorang ahli perniagaan dari Tawau, Sabah, pernah menjadi mangsa sehingga kerugian RM3.2 juta, Februari lalu.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu, empat lelaki dan seorang wanita, berusia antara 23 dan 33 tahun, diberkas.
 
Katanya, sindiket yang didalangi warga tempatan dan aktif sejak tiga bulan lalu, akan menghubungi mangsa dengan mengatakan akaun bank mereka disekat untuk siasatan.
 
“Sindiket memberi ala­san untuk siasatan antaranya penggubalan wang haram dan salah guna akaun.
 
“Mangsa yang terpedaya akan memindahkan wang ke akaun yang diberikan sindiket. Selepas itu, wang tersebut akan dipindahkan ke akaun ketiga,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, semalam.
 
Syed Ismail berkata, salah seorang suspek berusia 27 tahun, pernah ditahan selama lima bulan di China atas kesalahan sama, tahun lalu.
 
“Suspek dihantar pulang ke tanah air dan dia merupakan antara individu penting dalam sindiket ini,” katanya.
 
Beliau berkata, skrip perbualan yang dikarang sindiket untuk tujuan penipuan terhadap mangsanya turut ditemui.
 
Menurutnya, polis kini sedang mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat, berdasarkan penemuan senarai nombor telefon dan rekod panggilan.
 
Syed Ismail berkata, sindiket sering berpindah dan menjadikan kediaman yang mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi sebagai pusat operasi.
 
Menurutnya, sindiket akan merekrut pekerja melalui iklan di surat khabar dengan menjanjikan pekerjaan antaranya di restoran dan pejabat.
 
“Apabila diambil bekerja, mereka akan terjebak dalam jenayah ini. Mereka diberikan gaji pokok, RM1,000 hingga RM1,500 dan komisen tinggi jika dapat memperdayakan mangsa,” katanya.
 
Katanya, beliau percaya masih ada individu lain yang terlibat dan sindiket ini mempunyai rangkaian antarabangsa.

No comments:

Post a Comment