Monday, April 16, 2012

duyung la

Ikan duyung terdampar di Bukit Bintang


BIARPUN bukan seorang vegetarian, Tati (dua dari kiri) turut sama membantu para sukarelawan PETA menjayakan kempen ini.


TUMPUAN orang ramai yang lalu-lalang di hadapan bangunan Yayasan Selangor, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada awal bulan Februari lalu tertumpu kepada empat ekor ikan duyung yang terdampar di kaki lima jalan.
Di bawah panas terik matahari yang tegak di atas kepala, mereka tertanya-tanya mengenai cara ikan-ikan tersebut boleh berada di situ sedangkan laut terdekat berada lebih kurang 47 kilometer dari pusat bandar.
Di badan ikan-ikan duyung tersebut terdapat sepanduk yang tertera ayat berbunyi, Cuba selami mereka yang di atas pinggan anda, jadilah vegetarian, Peta. Perkataan mereka merujuk kepada hidupan laut, ikan yang menjadi hidangan makanan kepada manusia.
Lalu, para sukarelawan lain yang berada di persekitaran ikan tersebut menuju kepada kelompok orang ramai yang terpegun itu sambil menyerah risalah menggalakkan orang ramai menjadi vegetarian sekali gus menyelamatkan haiwan daripada menjadi hidangan manusia.
Pada tahun lalu para sukarelawan Pertubuhan Hak Asasi Haiwan (PETA) Asia Pasifik yang berpangkalan di Filipina itu mengecat badan mereka dengan warna hijau sebagai cara mempromosi menjadi pemakan sayur berbanding haiwan.
Pada tahun ini pula, mereka memakai kostum menyerupai ikan duyung dan berbaring di atas simen dalam cuaca panas bagi menggesa orang ramai untuk tidak memakan ikan dan menjadi vegetarian sejati.
Seru makan sayur
Koordinator Kempen PETA bagi rantau Asia Pasifik, Claire Fryer, 32, menyeru orang ramai supaya berhenti menjadikan ikan sebagai sumber makanan dengan meminta untuk menjalani gaya hidup pemakan sayur-sayuran.
Dalam sebaran akhbar yang diedar kepada pihak media, PETA mendakwa ikan merupakan haiwan yang sensitif, malah turut berasa sakit seperti haiwan-haiwan lain.
Menurut jurnal Fish and Fisheries yang ditulis berdasarkan 500 kertas kerja hasil kajian yang dilakukan menunjukkan ikan merupakan haiwan bijak, mempunyai daya ingatan kuat dan mempunyai struktur menakjubkan.
Apabila ikan-ikan ditangkap menggunakan pukat, haiwan tersebut akan bersesak-sesak dalam ruang yang kecil menyebabkan hidupan tersebut mengalami tekanan tinggi, takut dan sakit.
Nasib rakan mereka yang diternak dalam sangkar lebih menyedihkan, beratus-ratus ribu ikan ditempatkan di dalam sebuah kolam yang kecil dan kotor menyebabkan penyakit seperti serangan parasit dengan mudah boleh berlaku.
“Di seluruh dunia, bilangan ikan yang dibunuh dalam tempoh setahun melebihi angka jumlah keseluruhan haiwan darat yang dijadikan makanan. Ia melibatkan nombor yang mencecah berbilion-bilion ekor ikan,” dakwa Claire yang ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah wanita yang sudah menjadi seorang vegetarian selama 20 tahun itu, menjadi seorang pemakan sayur adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan ikan daripada terus menjadi santapan manusia.
Dia juga percaya amalan gaya hidup vegetarian boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama. Dalam masa yang sama, Claire mengakui ikan adalah satu-satunya haiwan yang boleh dimakan oleh semua pengamal agama-agama utama dunia.
Mengulas mengenai tahap kesedaran penduduk benua Asia mengenai alam sekitar dan haiwan, Claire yang berasal dari United Kingdom dapat melihat perubahan pada tahap kesedaran orang Asia supaya tidak menjadikan haiwan sebagai makanan mahupun pakaian.
Diejek rakan-rakan

KEEMPAT-EMPAT ekor ikan duyung ini terdampar di tepi jalan selama satu jam.


Orang ramai boleh mendapatkan panduan untuk mula menjadi vegetarian dengan melawat laman web www.petaasiapacific.com.
Bagi sukarelawan PETA, Stephanie Chow, 19, dia mengakui baru berjinak-jinak menjadi vegetarian setahun lalu. Gadis sunti dari Sunway, Selangor itu mengakui sukar untuk menukar diet pemakanan secara tiba-tiba.
“Saya masih lagi mencuba dengan menukar corak pemakanan secara beransur-ansur,” katanya yang lali dengan ejekan rakan-rakan pada peringkat awal mengambil keputusan tersebut.
Seorang lagi sukarelawan yang mahu dikenali sebagai Tati Ambia berkata, dia masih lagi belum bersedia untuk menjadi vegetarian sepenuhnya walaupun sudah dua tahun tidak makan daging.
Wanita berusia 28 tahun itu mula meninggalkan daging dalam dietnya selepas menonton sebuah video di laman YouTube yang memaparkan kesengsaraan ayam yang diternak untuk tujuan mendapatkan daging.
“Ia amat menyedihkan dan berpenyakit. Saat itu, saya terus tidak menyentuh daging lagi cuma, saya masih menikmati ikan,” katanya yang menolak untuk turut serta menjadi pelakon untuk kempen itu kerana tidak mahu bersifat hipokrit.
Biarpun Tati merupakan seorang pescetarian (tidak makan daging tetapi makan ikan), dia tetap mahu mesej menolak kekejaman terhadap haiwan perlu diteruskan supaya sampai kepada semua lapisan masyarakat.

No comments:

Post a Comment