Thursday, January 27, 2011

Baikhatinya Kerajaan

106,000 pelajar terima pakaian sekolah bulan depan

KUALA TERENGGANU 26 Jan. - Kerajaan negeri akan mengagih-agihkan bantuan pakaian sekolah kepada 106,000 pelajar sekolah menengah dan rendah yang melibatkan peruntukan RM12 juta mulai bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, setiap pelajar yang pendapatan bulanan keluarga adalah kurang daripada RM1,200 juga akan menerima RM100.

"Satu keluarga boleh dapat bantuan maksimum dua orang, satu untuk pelajar sekolah menengah dan satu sekolah rendah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Ahmad berkata, pengagihan bantuan itu, yang bertujuan meringankan beban ibu bapa, akan dibuat secara berperingkat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri.

Beliau juga berkata, 3,000 orang guru kelas Tahun Enam akan dibekalkan komputer riba oleh kerajaan negeri tidak lama lagi dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu dan rakyat celik IT.

Ia juga bertepatan dengan langkah Jabatan Pelajaran dan kerajaan negeri mengadakan program kelas maya di beberapa sekolah di Terengganu tidak lama lagi.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga yang dijadikan sekolah elit bandar raya, SK Seberang Takir dijenamakan sebagai sekolah siber dan SK Telok Kalong, Kemaman, sebagai sekolah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment