Sunday, January 23, 2011

Perut Buaya berdering

Perut buaya berdering selepas ia tertelan telefon bimbit


KIEV: Pekerja di sebuah akuarium di Ukraine tidak percaya apabila seorang pengunjung mengadu seekor buaya menelan telefon bimbitnya hingga menyebabkan reptilia itu mula ‘berdering.’

Kejadian yang berlaku di bandar Dnipropetrovsk, selatan Ukraine, hampir sama dengan cerita ‘Peter Pan,’ yang membabitkan seekor buaya menelan sebuah jam.


Tetapi Gena, buaya berusia 14 tahun yang menelan telefon bimbit itu bukan sebahagian daripada kisah dalam filem.

Sudah empat minggu dia tidak makan dan kelihatan tertekan dan sakit.


Gena menelan telefon berjenama Nokia itu selepas telefon milik Rimma Golovko itu jatuh ketika dia mahu merakam gambar Gena sedang ternganga.


“Ia mungkin menjadi gambar paling dramatik. Tetapi telefon itu terjatuh ke dalam mulutnya,” kata Rimma.


Pekerja akuarium tidak percaya apabila Rimma mengadu kejadian itu.


“Tetapi apabila telefon itu mula berdering dan bunyi itu datang dari perut Gena, kami mula percaya Rimma tidak berbohong,” kata seorang kakitangan, Alexandra.

Sejak itu, Gena enggan makan dan resah. Dia juga tidak mahu bermain dengan tiga buaya Afrika lain walaupun selama ini menjadi ketua dalam kumpulan itu.


“Tingkah lakunya juga berubah. Dia tidak banyak bergerak atau berenang seperti sebelum ini,” kata Alexandra.


Doktor cuba meningkatkan selera makannya minggu lalu dengan memberinya burung yang disuntik dengan vitamin. Usaha itu bagaimanapun tidak berjaya kerana Gena enggan makan.


Ketua pasukan perubatan akuarium itu, Oleksandr Shushenko berkata, buaya itu akan akan menjalani X-ray minggu depan jika ia terus enggan makan. - AP

No comments:

Post a Comment