Monday, January 31, 2011

Teraniaya

Mangsa rumah terbengkalai inginkan penjelasan

SAYA telah membeli rumah di Taman Kenanga, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 1999 melalui pinjaman kerajaan. Pemaju perumahan iaitu Kumpulan Sepang Utama telah berjanji kepada pembeli melalui perjanjian jual beli untuk menyiapkan rumah itu pada 2000 dan kemudahan dilanjutkan lagi pada tahun 2001.

Kini, setelah 10 tahun berlalu, rumah yang dijanjikan tidak dapat disiapkan. Pemaju itu pula telah lesap. Saya yang akan bersara lima tahun lagi berharap untuk tinggal di rumah itu apabila bersara nanti. Nampaknya harapan saya mungkin hampa.

Saya sebagai seorang pembeli, berasa telah dianiaya dan ditipu oleh pihak pemaju perumahan itu. Walaupun pelbagai kenyataan dikeluarkan oleh kerajaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membela para pembeli rumah, namun pihak pemaju berjaya memperlekehkan kerajaan dan jika hendak dibawa ke mahkamah pun, mereka pasti akan menang.

Saya dengan ini merayu Syarikat Perumahan Negara Berhad mengambil inisiatif mengambil alih dan membaik pulih rumah-rumah yang terbengkalai di Taman Kenanga itu.

Saya juga ingin bertanya kepada kerajaan yang telah memberikan pinjaman perumahan, bolehkah dibatalkan pinjaman itu dan potongan gaji saya pada setiap bulan dihentikan?

MOHD. NORDIN ISMAIL

Dengkil

No comments:

Post a Comment