Wednesday, January 26, 2011

Musim Histeria


Kecoh pelajar histeria cuba cederakan guru


Seorang guru cuba menenangkan seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ranggam yang mengalami histeria di Teluk Intan, semalam. Gambar kecil menunjukkan seorang pelajar yang cedera selepas diserang histeria.

TELUK INTAN 25 Jan. - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ranggam di sini kecoh apabila beberapa pelajarnya diserang histeria sehingga cuba mengancam nyawa guru serta pelajar lain.

Selain cuba membaling guru dengan cermin tingkap, ada juga pelajar yang diserang histeria itu mengeluarkan pisau cuba mencederakan pelajar lain sebelum berlari ke arah jalan besar.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru sekolah berkenaan, Baalozaman Mohd. Noor yang berada di tempat kejadian berkata, serangan histeria itu bermula pukul 8 pagi ketika pelajar baru hendak memulakan sesi persekolahan.

"Tiba-tiba seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga menjerit-jerit lalu memecahkan cermin tingkap dan membaling ke arah guru tetapi berjaya dielak oleh guru berkenaan.

"Selepas itu ia berjangkit pula kepada pelajar perempuan lain menyebabkan keadaan sekolah menjadi kelam-kabut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik sahaja kejadian histeria membabitkan pelajar perempuan reda, ia kemudian menyerang pelajar lelaki pula.

"Keadaan menjadi lebih kecoh apabila seorang pelajar mengeluarkan pisau dan cuba menyerang pelajar lain sebelum berlari ke arah jalan besar sehingga menyebabkan dia hampir dilanggar kereta," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan pelajar sekolah berkenaan telah pulang ke rumah masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Tinjauan juga mendapati cermin tingkap dan pasu bunga bertaburan akibat dipecah oleh pelajar-pelajar yang diserang histeria tersebut.

Utusan Malaysia difahamkan ini bukan kali pertama kejadian histeria berlaku di kalangan pelajar sekolah berkenaan.

Dalam pada itu seorang pelajar, Noorhafidah Abdulah, 15, berkata, dia dan rakan-rakannya berharap pihak sekolah mencari jalan bagi mengatasi masalah histeria itu kerana ia mengganggu persekolahan dan menakutkan mereka.

"Kami tidak mahu pindah sekolah kerana sekolah ini mengeluarkan ramai pelajar yang memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Sementara itu, pengusaha kantin sekolah tersebut, Norhazirah Hassan mendakwa, bilangan pelajar mengunjungi kantin sekolah berkurangan sejak kejadian histeria berlaku di sekolah berkenaan.

Beliau yang tinggal di kantin tersebut mendakwa sering diganggu makhluk halus pada waktu malam.

"Kadang-kadang saya terdengar pintu diketuk tetapi apabila dibuka tidak ada orang. Ada masanya 'dia' mengganggu seperti menggeletek kaki ketika kita tidur," katanya.

Menurut Norhazirah, kejadian tersebut menyebabkan dia rugi dan menghadapi kesukaran untuk membayar sewa kantin berkenaan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment