Saturday, January 22, 2011

PM Ucap Tahniah

PM ucap tahniah kejayaan Paskal tumpaskan lanun di Somalia

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Pasukan Khas Laut (Paskal) atas kejayaannya menyelamatkan kapal yang disewa oleh sebuah syarikat Malaysia yang dirampas sekumpulan lanun di Laut Aden, Somalia semalam.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut bangga dengan kecekapan dan keberanian ditunjukkan anggota Paskal yang berjaya menahan tujuh lanun dalam kejadian tersebut.

Menurut beliau, kerajaan sedang mengkaji daripada sudut perundangan antarabangsa berhubung tindakan sewajarnya yang akan diambil terhadap lanun-lanun yang ditahan itu.

''Kita akan melihat sama ada lanun-lanun itu akan dibawa balik ke Malaysia untuk diadili atau tindakan-tindakan sewajarnya yang lain.

''Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah kerajaan dan rakyat Malaysia kepada pasukan Paskal kita," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Dana Belia 1Malaysia di sini hari ini.

Najib mengulas kejayaan kapal Auxiliary Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bunga Mas 5 yang berjaya menyelamatkan kapal MT Bunga Laurel yang dirampas lanun di perairan Teluk Aden pada pukul 11.40 malam semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira 300 batu nautika timur negara Oman itu menyaksikan tujuh orang lanun Somalia bersenjatakan senapang AK-47 dan pistol berjaya ditahan selepas operasi menyelamat kapal itu dilancarkan pada pukul 1.20 pagi.

Kapal MT Bunga Laurel adalah kapal jenis Chemical Tanker yang disewa oleh MISC Bhd. (MISC) bagi membawa muatan minyak pelincir dan etilen diklorida (ethylene dichloride) dari Asia Barat ke Singapura.

No comments:

Post a Comment