Thursday, January 20, 2011

Seni Lukis Pahang


Seni lukis semakin aktif di Pahang

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Wan Adnan Wan Mamat (duduk tengah) bersama pelukis Pahang selepas merasmikan Galeri Pantai Timur, baru-baru ini.

KUANTAN 19 Jan. – Seni lukis merupakan satu ekspresi seorang pelukis yang amat halus dan indah serta mempunyai nilai estetika yang tinggi meliputi pelbagai bidang.

Dari sudut psikologi, seni dinyatakan sebagai santapan jiwa. Tanggapan masyarakat pada zaman prasejarah menganggap seni sebagai sumber terpenting dalam kehidupan manusia terutama berkomunikasi, berinteraksi dan berhubung.

Sama ada Seni Untuk Masyarakat yang diperjuangkan oleh ASAS 50 atau Seni Untuk Seni yang diperjuangkan oleh Hamzah Abdul Majid Hussin atau lebih dikenali sebagai Hamza, ia berkaitan dengan hasil seni yang dihasilkan oleh seorang insan.

Beberapa buku menyatakan lukisan adalah aktiviti melukis yang menggunakan bahan kering atau basah untuk mendapatkan kesan rupa dan bentuk pada sesuatu permukaan.

Lukisan juga boleh dikaitkan dengan pengalaman yang istimewa kepada seseorang pelukis yang digambarkan melalui gerak minda dan hati diterjemahkan di atas permukaan untuk dijadikan sebagai bahan dokumentasi.

Dengan kata lain, lukisan adalah satu disiplin seni yang boleh dikaitkan dengan keperluan psikologi sejarah dan artistik.

Ia terbukti apabila pelukis perlu mempunyai tiga nilai kerangka dalam dirinya iaitu daya visualisasi, daya emosi dan daya estetika.

Sebenarnya lukisan bukanlah milik mutlak pelukis tetapi ia adalah milik semua manusia.

Pengalaman anak-anak kecil menconteng di atas kertas atau dinding merupakan fitrah manusia melukis sebagai meluahkan perasaan dalam bentuk visualisasi.

Secara umumnya seni lukis atau lukisan mempunyai empat kepentingan iaitu bagi tujuan penyelidikan, kajian dan untuk melihat sesuatu peristiwa yang sebenar; merakamkan sesuatu peristiwa; sebagai alat komunikasi dan sebagai data menyimpan memori kepada pelukis untuk menghasilkan satu karya yang terbaik.

Sebagaimana di tempat-tempat lain, kegiatan seni lukis di kalangan pelukis di Pahang tidak pernah lesu malah semakin aktif sejak akhir-akhir ini.

Ini berikutan perkembangan terbaru mereka yang semakin giat menganjurkan beberapa pameran bagi mempromosi karya mereka kepada umum.

Apa yang lebih membanggakan ialah kewujudan lebih 20 buah galeri lukisan di bandar ini yang bukan sahaja menawarkan karya pelukis tetapi turut menyediakan peralatan yang diperlukan untuk menghasilkan lukisan.

Terbaru, sebuah galeri di sini, Galeri Pantai Timur yang terletak di Jalan Bukit Ubi telah mengadakan pameran lukisan selama 21 hari yang berakhir pada Sabtu lalu.

Pameran yang bertemakan Pelukis Bertemu dan Berkarya ini melibatkan 40 pelukis yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

Menurut Pengerusi Persatuan Seni Lukis dan Seni Reka Pahang (Senika), Mohd. Shaimy Hashim, pameran peringkat negeri itu melibatkan semua pelukis termasuk yang baru dan lama.

“Penglibatan semua pelukis sama ada yang telah dikenali dan baru atau yang menyertai secara separuh masa amat menggalakkan.

“Dalam pertemuan itu, mereka berkarya dengan sebebas-bebasnya berdasarkan ilham masing-masing.

“Selepas pertemuan selama dua hari di Semuji Resort di sini, mereka berjaya menghasilkan 48 karya daripada pelbagai saiz termasuk dua arca,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Shaimy, mereka turut berdialog dan berbincang sesama sendiri mengenai karya yang dihasilkan sebelum dipamerkan di galeri berkenaan.

“Senika turut menjemput wakil daripada Gabungan Persatuan Pelukis SeMalaysia (GPPS) dan beberapa pelukis dari Kelantan, Melaka dan Johor bagi memeriahkan pameran berkenaan.

“Usaha ini merupakan satu kaedah untuk menjejak minat bakat baru dalam seni lukis di Pahang di samping memasyarakatkan seni ini kepada khalayak,” jelasnya.

Melalui pameran tersebut jelasnya, para pelukis akan mendapat maklum balas daripada masyarakat yang melakukan penilaian selepas melihat hasil karya yang dipersembahkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, pihaknya amat mengalu-alukan penyertaan pelukis dalam pameran-pameran yang diadakan kerana melalui lukisan, sesuatu mesej dapat disampaikan dengan jelas.

“Selain menghidupkan kembali kegemilangan pelukis-pelukis negeri ini, melalui pameran lukisan, ia mampu mendidik masyarakat terutama golongan muda.

“Sebagai contoh, dalam lukisan mengenai sejarah negara, mungkin ia lebih berkesan dalam bentuk lukisan berbanding percakapan atau lisan,” katanya ketika menutup pameran lukisan bertemakan Pelukis Bertemu dan Berkarya di Galeri Pantai Timur di Jalan Bukit Ubi di sini baru-baru ini.

Pameran selama 21 hari itu bermula Sabtu lalu, melibatkan 40 pelukis tempatan.

Sebagai usaha memartabatkan golongan pelukis di negeri ini, Wan Adnan mencadangkan golongan pelukis mereka melibatkan diri dalam Sukan Malaysia (Sukma) yang akan diadakan di negeri ini pada tahun depan.

TAJUK-TAJUK

No comments:

Post a Comment