Sunday, January 23, 2011

Berikan Maklumat

Salur info perlakuan maksiat

KERLING - Kerjasama ahli kariah dalam memberikan maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral dalam kalangan remaja Islam amat diperlukan.

Pengerusi Surau Nurul Ikhwan, Kampung Air Panas, Azman Abdul Latif berkata, kerjasama itu sebagai langkah membanteras sebarang perlakuan sumbang seperti maksiat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, memandangkan kawasan kampung berkenaan yang berhampiran dengan pusat rekreasi air panas dan tumpuan pengunjung luar, maka sudah pasti tidak terkecuali daripada berdepan dengan situasi tidak sihat itu.

“Menjadi tanggungjawab ahli kariah dalam menyalurkan sebarang maklumat sekiranya berdepan mahupun mengetahui wujud perlakuan tidak bermoral di kampung ini.

“Walaupun laporan mengenai kegiatan salah laku maksiat ini kurang didengar, tetapi seharusnya kita bersiap sedia dan menegah sekiranya berdepan dengan mereka yang cuba melakukannya,” katanya ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Pengguna anjuran Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Wilayah Hulu Selangor di sini semalam.

Hadir sama pada kempen tersebut, Penolong Pengurus Besarnya, Abdul Latip Mustafa serta Timbalan Pengerusi Surau, Nor Razlan Ahmad.

Kempen sehari itu melibatkan sebahagian penduduk sekitar Kampung Air Panas, Kerling dan Taman Lembah Damai.

Azman berkata, Jawatankuasa Surau Nurul Ikhwan juga sentiasa menggandakan usaha dalam mengajak ahli kariah supaya melibatkan diri dalam aktiviti pengimarahan surau.

Menurutnya, usaha mendekatkan diri dengan surau atau masjid mampu mengelak seseorang daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT.

“Surau kita sering mengadakan pengisian ilmiah secara mingguan dan bulanan seperti Tafsir al-Quran, Tasauwuf dan Hadis.

“Malah, ada jadual pengisian khusus untuk pada ibu yang diadakan dua kali seminggu. Semua ini antara usaha jawatankuasa surau mendidik dan menyedarkan ahli kariah mengenai tanggungjawab mereka bukan saja sesama manusia tetapi agama dan Pencipta,” katanya.

Terdahulu, Azman bersama kira-kira 60 ahli kariah dan pegawai serta kakitangan Syabas melakukan gotong-royong membersihkan kawasan surau berkenaan.

Menurut Azman, beliau amat memuji usaha dilakukan Syabas khususnya dalam usaha menyedarkan masyarakat mengenai tanggungjawab menjaga kebersihan selain memastikan penggunaan air secara berhemah.

Azman berkata, pelbagai mesej disampaikan melalui taklimat ringkas Syabas antaranya kesedaran mengenai penjagaan kualiti air, memastikan penduduk menjelaskan bil penggunaan air dan mengetahui saluran aduan tepat sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

Menurutnya, Syabas turut menyumbangkan tiga benih pokok buah-buahan yang ditanam di halaman Surau Nurul Ikhwan.

No comments:

Post a Comment