Bubuk merubah rezeki penduduk
MIRI 28 Mac - Sejak sebulan lalu, beberapa kawasan pantai di sini 'diserang' gerombolan udang halus yang dipanggil penduduk tempatan sebagai bubuk.
'Serangan' berkenaan amat ditunggu-tunggu kerana ia menjanjikan pulangan lumayan kepada para penduduk setempat yang bagaikan berpesta menangkapnya.
Penangan wang segera yang dibawa bubuk amat kuat sehingga ramai nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan kerana bubuk menawarkan pendapatan yang jauh lebih tinggi.
Dengan harga antara RM7 hingga RM8 sekilogram, jika bernasib baik para nelayan berkenaan mampu meraih pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM1,800 sehari.
Lebih menarik ada pekerja yang sanggup meminta cuti dengan majikan gara-gara hendak turun ke laut menangkap bubuk.
Malah jika dilakukan secara sambilan, penduduk terlibat juga boleh meraih pendapatan antara RM350 hingga RM400 sehari dan ia merupakan satu jumlah yang besar untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Antara kawasan popular untuk menangkap bubuk di sini ialah Kampung Batu Satu Kuala Baram, Kampung Bakam dan Kampung Piasau Utara.
Terdapat dua kaedah menangkap bubuk iaitu menggunakan sejenis jaring yang dipanggil paka tunda dan paka sorong.
Paka tunda yang ditolak oleh bot biasanya menjadi pilihan para nelayan kerana ia boleh menangkap sehingga 200 hingga 300 kilogram bubuk dalam satu-satu masa terutama pada musim puncak.
Bagi penangkap bubuk sambilan pula, mereka menggunakan paka sorong yang menagih kudrat dengan hasil tangkapan antara 60 hingga 80 kilogram sehari.
Bagi sesetengah penangkap bubuk, mereka tidak kisah sekiranya hanya mendapat hasil sebanyak lima hingga 10 kilogram sehari kerana pendapatan mereka juga lumayan selepas ia diproses menjadi belacan dan cencaluk.
Bayangkan, sekilogram bubuk apabila sudah diproses menjadi belacan boleh dijual pada harga RM15 hingga RM30 sepaket bergantung kepada gred.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Bakam, Yusop Karim, 45, berkata setiap kali musim bubuk, dia tidak ketinggalan untuk menyertai 'pesta' menangkapnya.
"Setiap kali musim bubuk, saya tidak akan melepaskan peluang untuk turut memeriahkan suasana, seronok menangkap bubuk terutama apabila mendapat hasil lebih daripada 50 kilogram.
"Kalau tidak habis dijual, isteri saya akan memprosesnya menjadi belacan atau cencaluk yang banyak membantu ekonomi keluarga," katanya yang ditemui di Pantai Bakam baru-baru ini.