Saturday, March 17, 2012

kalah saman kena bayar

CEO kolej swasta saman Celcom gagal kes

16 Mac 2012

KUALA LUMPUR - Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) hari ini gagal dalam tuntutan saman RM20 juta terhadap Celcom Axiata Berhad kerana mendakwa mendedahkan kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan rakaman perbualan telefon beliau dengan individu lain.

Mahkamah Tinggi di sini menolak dengan kos dua saman itu yang difailkan oleh Noor Haslina Abdullah terhadap syarikat telekomunikasi itu serta memerintahkan beliau menanggung kos sebanyak RM50,000.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin dalam kamar. Pada 29 Ogos, 2010, Noor Haslina, 41, seorang CEO sebuah kolej swasta di Kuala Terengganu, memfailkan dua saman terhadap syarikat itu yang kini dikenali Celcom (Malaysia) Berhad kerana menceroboh hak peribadinya, keyakinan, kontrak dan cuai.

Dalam pernyataan tuntutannya, Noor Haslina menuntut RM10 juta bagi pendedahan SMS dan RM10 juta lagi bagi pendedahan perbualannya. Noor Haslina diwakili peguam K.P.Lim dan Melissa Shukri manakala Celcom oleh Rishwant Singh dan M. Ghandi Mohan.

Rishwant memberitahu pemberita di sini bahawa hakim telah menolak saman tersebut selepas Noor Haslina, selaku plantif, gagal membuktikan tuntutan beliau. Celcom juga memfailkan tuntutan balas terhadap plaintif kerana menyalahgunakan proses menuntut ganti rugi dan mahkamah membenarkan tuntutan itu dan mengarahkan ganti rugi itu dinilai oleh pendaftar mahkamah kemudian, katanya.

Katanya hakim telah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan dari tujuh saksi plaintif dan dua dari pihak defendan (Celcom).

Plaintif dalam pernyataan itu menyebut, sewaktu tiba di pejabatnya pada 11 Mac 2010, beliau telah menerima satu sampul surat yang mana kandungannya telah dibuka oleh pekerjanya sebagaimana rutin kerja.

Beliau mendapati di dalam sampul surat tersebut terdapat sembilan helai surat bersaiz A4 dipercayai dokumen Celcom dan pemacu pena berjenama Kingston Data Traveller 4GB.

Plaintif mendapati keseluruhan kandungan dalam kesemua sembilan helai dokumen tersebut mengandungi maklumat SMS yang dihantar dan diterima daripada telefon bimbitnya yang berdaftar dengan syarikat defendan atas kontrak "family package".

Selain itu, plaintif juga telah membuka data yang terkandung dalam pemacu pena terbabit dan mendapati terdapat rakaman percakapan telefon antara plaintif melalui nombor telefon terbabit.

Dalam pernyataan pembelaannya, Celcom menafikan dakwaan sampul surat itu mengandungi sebarang dokumen dari pihaknya serta menafikan ia bertanggungjawab mengeluarkan sebarang maklumat berhubung plantif sama ada peribadi atau sulit.

Syarikat telekomunikasi itu dalam tuntutan balas berkata dua saman yang difailkan oleh plantif itu bertujuan merosakkan reputasi dan nama baik syarikat itu.- Bernama

No comments:

Post a Comment