Thursday, March 15, 2012

janda dadah

Musnah masa depan sendiri
Wartawan Sinar Harian
15 Mac 2012
Musnah masa depan sendiri
KAMPUNG RAJA - Seorang penjawat awam wanita di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Terengganu bakal memusnahkan masa depan kerjayanya sendiri apabila ditangkap kerana memiliki dan menagih dadah.
Suspek ditahan bersama tiga lelaki dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah dalam sebuah rumah di Kampung Gong Kepas.
Dia bukan sahaja berdepan tindakan undang-undang malah mungkin dikenakan tindakan tatatertib termasuk kemungkinan kehilangan pekerjaan tetapnya sekiranya disabit bersalah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek wanita berumur 35 tahun itu berstatus janda dan mempunyai dua anak berumur 11 dan 13 tahun.
Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, wanita yang pernah bertugas di daerah ini pulang bercuti di rumahnya di sini terperanjat apabila sebaik membuka pintu utama rumah mendapati sepasukan polis sudah berada di situ.
“Pemeriksaan dalam bilik tidur wanita itu menemui sebiji pil dipercayai methamphetamine (pil kuda) manakala pemeriksaan lanjut di sebuah bilik tidur lagi mendapati tiga lelaki sedang lena tidur termasuk abang wanita berkenaan,” katanya.
Kamaruddin berkata, hasil pemeriksaan dalam bilik tersebut polis menemui empat botol cerah mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin dan 139 biji pil kuda dalam dua plastik berasingan.
Menurutnya, abang wanita itu berumur 36 tahun manakala dua lagi rakannya 37 dan 39 tahun adalah penduduk tempatan.
“Kesemua dadah yang dirampas bernilai lebih kurang RM5,500 dan ketiga–tiga lelaki yang tidak mempunyai kerja tetap itu dipercayai pengedar dadah di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap suspek mendapati kesemua mereka positif dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut.
Suspek wanita tersebut dikatakan pulang ke rumahnya di sini bagi membuat persiapan untuk pergi kursus yang dikendalikan jabatannya dan dia sepatutnya menunjukkan contoh yang baik khususnya kepada anak buahnya.
Kesemua suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik dan jenayah termasuk pernah meringkuk dalam penjara.
Wanita itu disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Abang wanita berkenaan dan dua suspek lain pula disiasat di bawah Syeksen 39B syeksen sama yang sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mandatori gantung sampai mati dan turut disiasat di bawah Syeksen 39A(1) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta tiga sebatan.

No comments:

Post a Comment