Monday, March 5, 2012

menang 40 ribu

Umpan roti menang RM40,000
AHMAD NORMAN ABU TALIB
5 Mac 2012
joran
PETALING JAYA – Seorang penjaga stor tidak menyangka percubaannya menyertai Pertandingan Memancing GP Selangor 2012 membuahkan hasil lumayan apabila menjadi johan dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM40,000 di Tasik Bandaran Kelana Jaya, di sini semalam.

Mohd Desa Zakaria, 55, berasal dari Sungai Buloh menjadi pemenang bertuah selepas berjaya menaikkan ikan patin seberat 4.85 kilogram (kg) kira-kira jam 8 pagi, selepas 20 minit pertandingan itu dimulakan.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka dipilih menjadi pemenang berdasarkan berat ikan yang berjaya dinaikkan.

“Saya terkejut dengan kemenangan ini kerana ini merupakan kali pertama saya dapat hadiah wang tunai sebanyak RM40,000 seperti ini.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana masa dapat ikan ini pun saya tak fikir ia merupakan ikan yang paling berat berbanding peserta lain,” katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah berkenaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di sini, semalam.

Mohd Desa berkata, tiada sebarang kelainan dirasakan sepanjang menyertai pertandingan itu kerana dia sememangnya minat memancing, malah sering menyertai pertandingan seperti itu sebelum ini.

Ketika ditanya pemberita sama ada dia mempunyai teknik khas, Mohd Desa berkata, dia memancing seperti biasa sahaja dengan menggunakan roti sebagai umpan dan tiada sebarang keistimewaan.

“Saya tiada apa-apa teknik khas cuma saya menggunakan roti dipotong secara kecil untuk dijadikan umpan,” katanya.

Mohd Desa berkata, setakat ini dia tidak mempunyai sebarang rancangan berhubung hadiah kemenangannya itu.

“Saya belum fikir pun hendak buat apa dengan wang sebanyak ini, tetapi saya nak belanja sikit untuk kawan-kawan yang sama-sama memancing sekali bagi meraikan kejayaan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pertandingan yang disempurnakan Abdul Khalid merupakan kali kedua diadakan sejak kali pertama dijalankan tahun lalu dengan penyertaan seramai 10,597 peserta dalam sepuluh pusingan.

Tahun ini, dijangka seramai 15,000 peserta akan menyertai pertandingan sebanyak 12 pusingan di seluruh negeri yang bermula di Tasik Bandaran, Kelana Jaya dan berakhir di Taman Tasik Shah Alam Disember depan.

No comments:

Post a Comment