Sunday, March 4, 2012

padah elak lopak air

Bahana elak lopak air
Wartawan Sinar Harian
4 Mac 2012
Bahana elak lopak air
KUANTAN – Gara-gara ingin mengelak lopak air, sebuah kereta Proton Wira terbabas lalu merempuh sebuah kereta Kancil di laluan bertentangan di Jalan Pintasan Kuantan-Gebeng, petang kelmarin.

Saksi kejadian, Neo Sai Kee, 49, berkata, ketika kejadian, dia memandu pacuan empat roda dari arah Semambu ke Kuantan dan tiba-tiba sebuah kereta terbabas masuk ke laluannya, tetapi sempat mengelak.

Bagaimanapun katanya, kereta Kancil yang dipandu seorang pemuda berusia lingkungan 20-an yang berada di belakangnya tidak sempat mengelak lalu kedua-dua kereta berkenaan bertembung.

“Kejadian berlaku dengan pantas, mujur saya sempat mengelak, tetapi malangnya ia melanggar kereta di belakang saya menyebabkan kedua-dua kereta remuk.

“Kereta Kancil itu tidak sempat mengelak kerana dipandu agak laju, manakala kereta Wira berkenaan tidak dapat dikawal menyebabkan ia terbabas hingga masuk ke laluan bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, pemandu Proton Wira berkenaan dari arah Kuantan ke Semambu cuba mengelak lopak air, tetapi tidak dapat mengawal kenderaannya dipercayai akibat jalan licin.

Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Kancil cedera di bahagian muka, manakala pemandu Proton Wira mengalami kecederaan akibat hentakan di dada.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Sementara itu, seorang pemandu yang mahu dikenali sebagai Roslan berkata, laluan terbabit sememangnya terkenal sebagai kawasan kemalangan.

Menurutnya, sebagai pemandu, dia hanya boleh berhati-hati dan tidak memandu laju walaupun jalan berkenaan adalah lebuh raya.

“Setiap kali musim hujan, memang kawasan ini paling ditakuti pemandu kerana mungkin keadaan jalan yang lurus dan lopak air yang bertakung di atas jalan. Seingat saya, tidak lama sebelum ini sudah ada dua kenderaan terbabas di sini dan ini membuatkan kawasan ini seolah-olah hanya menunggu mangsa,” katanya.

Bagi peniaga kedai di bahu jalan yang enggan namanya disiarkan berkata, dia sedia maklum dengan kemalangan yang kerap berlaku di laluan terbabit.

“Memang ngeri kerana saya sudah banyak kali melihat kemalangan di jalan ini. Memang sebab utama adalah lopak air yang membuatkan pemandu ingin mengelak, ­bagaimanapun mereka terus terbabas. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa dapat memantau keadaan jalan ini yang rosak untuk mengelakkan kemalangan terus berlaku.” katanya.

No comments:

Post a Comment