Wednesday, March 14, 2012

motor xde saman ade

Tiada motosikal, terima notis
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Tiada motosikal, terima notis
KUANTAN - Tidak pernah memiliki motosikal, namun seorang warga emas menerima notis berhubung kesalahan menukar hak milik tanpa kebenaran kenderaan terbabit daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ini menyebabkan bekas pekerja am, Foh Siew Fui, 67 dari Kampung Tiram di sini terkejut dan bingung memikirkan nasibnya selepas menerima notis terbabit kelmarin.

Menerusi notis panggilan temu siasat itu, warga emas terbabit diminta hadir di Unit Siasatan Kenderaan Bahagian Pendaftaran dan Pelesenan Kenderaan di JPJ Selangor pada 19 Mac depan kira-kira jam 9 pagi membabitkan kenderaan berdaftar WGQ 6153.

Dakwanya, dia tidak pernah memiliki kenderaan ataupun pendaftaran luar dari Selangor dan hanya pernah membeli sebuah lori kecil kira-kira 20 tahun lalu dan telah dijual sejak beberapa tahun lalu.

“Sebenarnya saya mendapat surat berdaftar di rumah pada Sabtu lalu dan hanya pada Isnin saya mengambilnya dan selepas dibaca oleh anak perempuan, dia menelefon JPJ terbabit dan diminta hadir ke sana.

“Saya terkejut dan saya merujuk ke sini, sebelum mendapat maklumat daripada JPJ Pahang yang melakukan pemeriksaan dan mendapati ia sebuah motosikal didaftarkan milik sebuah syarikat di Lahad Datu, Sabah,” katanya.

Siew Fui ditemui ketika sidang media di pejabat Ahli Parlimen Kuantan yang dikendalikan Pegawai Khasnya, Sim Chon Siang di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengharapkan masalah dihadapinya itu dapat diselesaikan segera sebelum hadir pada hari tersebut.

Sementara itu, Chon Siang memberitahu, pihaknya akan menulis surat dan menunggu maklum balas daripada JPJ Selangor untuk membantu warga emas terbabit.

“Kita sudah merujuk masalah ini pada JPJ Pahang, namun jabatan itu tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara itu kerana ia dilaporkan di JPJ Selangor,” katanya.

No comments:

Post a Comment