Saturday, March 17, 2012

medan selera tidak stratejik

Medan selera kurang sambutan
Wartawan Sinar Harian
16 Mac 2012
Medan selera kurang sambutan
MUAR – Ketika dibuka kira-kira lima tahun lalu, medan selera di Kawasan Perindustrian Pagoh pernah menjadi tumpuan para peniaga kawasan berhampiran berniaga di situ.
Namun, kini medan selera itu kini berubah wajah apabila kesemua peniaga yang pernah berniaga di situ terpaksa menghentikan operasi mereka berikutan tidak tahan menanggung kerugian kerana tidak mendapat sambutan.
Tinjauan Sinar Harian semalam, mendapati medan selera itu tiada penghuni selain laluan ke tempatnya sudah dipasang dengan palang besi.
Bekas peniaga, Azahari Manaf, 46, berkata, dia hanya mampu bertahan menjual roti canai dan minuman di situ selama dua tahun.
Oleh kerana tidak tahan, akhirnya dia terpaksa mengikut jejak peniaga-peniaga lain dengan menutup kedai setelah perniagaannya itu tidak mendapat sambutan.
“Macam mana hendak sara keluarga jika setiap hari jumlah pelanggan yang datang ke kedai semakin berkurangan. Pernah juga saya terima pelanggan tidak sampai 15 orang. Itu pun daripada pekerja kilang berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.
Azahari berkata, dia merupakan peniaga terakhir menutup kedainya berbanding peniaga-peniaga yang lain.
“Pada mulanya saya cuba bertahan untuk terus berniaga di sini tetapi setelah menunggu beberapa bulan, keadaan menjadi semakin teruk dan akhirnya saya terus tutup kedai. Kadar sewa di sini juga agak mahal iaitu RM250 sebulan dan tidak memadai jika dibandingkan dengan pendapatan yang saya perolehi,” katanya.
Katanya lagi, walaupun medan selera tersebut berhampiran dengan kawasan perindustrian Pagoh, tetapi ia tidak mampu menarik pekerja untuk datang makan di situ kerana kilang tersebut mempunyai kantin.
“Ramai pelanggan mengadu mereka tidak menyedari kewujudan gerai ini kerana kedudukannya yang terlindung dengan pokok besar dan semak samun di bahagian hadapan. Malah ada pelanggan mengatakan mereka tidak suka datang ke sini kerana simpang ke medan selera ini sangat sesak dengan treler yang sering keluar masuk ke dalam kawasan perindustrian. Saya berpendapat, medan selera ini mampu dihidupkan semula jika infrastrukturnya dinaiktaraf semula seperti dilengkapi dengan papan tanda dan laluan khas untuk memudahkan orang ramai datang ke sini,”katanya.

No comments:

Post a Comment