Wednesday, February 2, 2011

Dagang Orang


'Dagang' tengah laut
Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


TAHAN...Norzaid melihat pendatang yang duduk berhimpit di dalam sebuah bot pom-pom yang ditahan, semalam.
PELABUHAN KLANG: Sindiket penyeludupan pendatang asing dikesan menggunakan taktik berurusan di tengah laut sama ada untuk membawa masuk atau keluar pendatang bagi mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

Kegiatan licik itu bagaimanapun terbongkar apabila cubaan 24 rakyat Indonesia termasuk tiga wanita untuk keluar dan masuk ke negara ini gagal apabila dua bot yang dinaiki mereka ditahan Pasukan Gerakan Marin (PGM) di perairan laut, Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, dekat sini, awal pagi semalam.


Semua pendatang asing berusia antara 18 dan 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi ketika proses pemindahan penumpang membabitkan bot pom-pom dan sampan.

Daripada 24 pendatang itu, 16 daripadanya mahu pulang ke negara asal dibawa dengan sampan ke tengah laut untuk dipindahkan ke bot pom-pom, manakala lapan penumpang dari bot pom-pom baru tiba ke negara ini dan akan menaiki sampan untuk ke darat.


Turut ditahan dalam operasi khas hasil maklumat awam itu ialah tiga tekong rakyat Indonesia dan seorang tekong darat warga tempatan.


Pegawai Pemerintah, Markas Operasi, PGM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Mohamad, berkata bertindak atas maklumat, dua bot ronda dan sebuah bot samaran bersama 12 anggota membuat pemantauan sebelum melihat pergerakan membabitkan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.


“Pada masa sama sebuah sampan dari pantai bergerak ke arah bot terbabit untuk melakukan pertukaran penumpang.


“Susulan itu, bot kami menghampiri kedua-dua bot terbabit sebelum disedari dua tekong dan cubaan mereka terjun ke laut untuk melarikan diri gagal,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Pangkalan PGM Pulau Indah, di sini, semalam.

Norzaid berkata, modus operandi itu yang terbaru dikesan PGM kerana kebiasaannya suspek menggunakan sebuah bot saja dan ia dilakukan di daratan.

“Hasil soal siasat mendapati pendatang asing itu membayar RM400 seorang untuk keluar dan masuk di negara ini secara haram.


“Semua pendatang asing akan dituduh mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 manakala tiga tekong yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 56 (1)(c) akta sama,” katanya.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment