Sunday, February 20, 2011

Jangan Pakai Emas

Gelang hadiah kahwin disamun

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
utusanjohor@utusan.com.my
PONTIAN 19 Feb. - Seorang wanita kehilangan gelang hadiah perkahwinan yang diterimanya minggu lalu akibat disamun dua lelaki di Lorong Datuk Hitam, Kampung Parit Semerah di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi, ketika mangsa, Nur Azura Marzuki, 24, menunggang motosikal seorang diri ke sebuah bank di bandar ini untuk mengeluarkan wang.

Dia kemudian terserempak dengan dua lelaki menaiki sebuah motosikal berwarna hitam dan memakai topi keledar penutup muka.

Nur Azura yang baru berpindah mengikut suaminya ke Taman Damai di sini berkata, pada mulanya dia tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka dua pemuda itu turut menggunakan laluan tersebut tetapi tidak lama kemudian, motosikalnya dipintas secara tiba-tiba.

"Salah seorang daripada mereka mengeluarkan pisau lipat lalu meletakkan di pergelangan tangan kanan saya lalu mengelarnya. Mujur pisau terbabit tidak tajam kalau tidak mungkin saya luka parah.

"Seorang lagi memaksa saya membuka gelang hadiah kahwin bernilai RM1,500 yang saya pakai ketika itu dan menyerahkan dompet yang hanya berisi kad pengenalan dan wang sebanyak RM5," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini kelmarin.

Katanya, dia kemudian disuruh diam ketika seorang wanita tua menunggang basikal melalui jalan tersebut dan mangsa tidak berani berbuat apa-apa kerana pisau masih diletakkan di tangan kanannya.

Dia memberitahu, dua lelaki itu kemudian melarikan diri selepas mendapat gelang tersebut dan dia bernasib baik kerana kejadian berlaku sebelum sempat dia mengeluarkan wang dari bank.

Nur Azura kemudian memaklumkan kejadian kepada suaminya sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini serta mendapatkan rawatan di Hospital Pontian.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment