Saturday, February 26, 2011

Kisah Beras Tumpah

WARGA ASING PUNGUT BERAS?

SAYA terpanggil untuk membangkitkan persoalan, adakah mereka yang berpusu-pusu mengutip beras dan syiling baru-baru ini terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja?

Dari pemerhatian saya, ramai juga muka warga asing yang nyata lebih berani ke tengah jalan untuk mengutip beras dan syiling berkenaan berbanding rakyat kita.

Malahan kaum India yang kelihatan dalam gambar-gambar akhbar juga mencurigakan kerana secara kasarnya tidak kelihatan seperti kaum India yang menjadi rakyat negara ini. Saya akui ramai juga rakyat kita yang memang suka ‘barang percuma’ sebegini tetapi apa yang dilihat dan ditegur sesetengah pihak mungkin tidak tepat. Jangan kerana jumlah yang mengutip itu ramai maka dicop semua warga Malaysia ‘kaki kutip barang’.

Yang Indon macam Melayu, yang dari negara India dan China tidak jauh beza dari saudara mereka di sini, tetapi yang muka nyata warga Myanmar, Nepal, Bangladesh dan sebagainya jangan pula dicop sebagai rakyat kita. Saya malu dengan rakyat yang masih amalkan ‘mengutip di tepi jalan’ ini tetapi perlu difahami masih ada antara kita yang hidup susah dan mungkin garisan halal-haram itu sudah kabur bagi mereka bila anak di rumah kelaparan. Apa sekalipun, jangan dicopkan secara umum semua kaki pungut dan warga kita yang masih memungut juga sudah tidak begitu ramai seperti yang kelihatan dalam gambar-gambar akhbar sebelum ini.

ANSAI

Gombak

SIKAP ANEH PEMANDU MALAYSIA

TERPEGUN sebentar apabila menatap akhbar yang melaporkan sikap segelintir warga pemandu di lebuh raya berebut mencuri beras yang tumpah akibat kemalangan.

Ada rasa hairan, jelik dan hampir tidak percaya itulah sikap yang ditunjukkan oleh warga kita yang ratanya terkenal sebagai pemurah, peramah, sopan santun dan suka membantu.

Seperti ada yang tidak kena, kerana sebelum ini turut dilaporkan bahawa perkara yang sama berlaku apabila sebuah pacuan empat roda yang membawa syiling kemalangan maka gempar pemandu di lebuh raya mengutip syiling berkenaan yang diibaratkan seperti rezeki jatuh dari langit. Insiden terbaru lebih menyayat hati apabila pemandu dan kelindan yang parah dibiarkan malah mengakibatkan seorang daripadanya maut.

Melalui pengamatan, terdapat dua perkara yang mungkin menyebabkan situasi ini berlaku. Yang pertama mungkin sikap pemandu kenderaan berat di lebuh raya negara ini memang menjengkelkan. Keganasan corak pemanduan mereka mengundang rasa benci pemandu lain yang melihat sikap mereka seperti samseng jalanan.

Senario kedua, ramai pengguna lebuh raya di negara kita terdiri daripada pelbagai golongan terutama di peringkat bawahan dan pertengahan. Mereka sedang terhimpit dengan kenaikan harga barang yang kebelakangan ini melampaui jangkaan akal dan amat terdesak mengurangkan kadar perbelanjaan isi rumah yang sentiasa meningkat.

Kepada kumpulan ini, apa sahaja sumber tanpa mengira halal haram dan makruh sekiranya terbuka akan dipergunakan sepenuhnya tanpa ragu-ragu lagi demi kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai pengetahuan bahawa semua barangan berkenaan sudah diinsuranskan dan sudah tentu pemilik dan pemandu berkaitan akan dibayar ganti ruginya oleh pihak yang menginsuranskannya.

Selebih dari itu, tanggung jawab sosial, tata susila, etika dan budi pekerti mulia nampaknya bukan lagi sesuatu yang dititik beratkan dan dimasukkan dalam agenda nasional kita. Malah subjek yang pernah diajar di sekolah rendah pada satu ketika dahulu sudahpun dimansuhkan.

Bolehkah kita menuding jari kepada para pelakonnya sahaja sedangkan para pengarah terlepas dari menanggung akibat. Lantas kita jangan pula nanti pura-pura lupa bahawa tentu masih ada perkara-perkara yang lebih dahsyat akan keluar selepas ini selepas melihat pembuangan bayi, pengabaian ibu bapa dan warga emas malah sikap brutal yang keterlaluan kumpulan orang muda di negara ini melewati format budaya timur yang kita agungkan satu ketika dahulu.

Sudah sampai masanya, para pembuat dasar, para pemimpin dan pakar psikologi untuk tampil duduk semeja bagi merumus satu formula dan agenda menyeluruh yang bukan sahaja berkaitan kemalangan jalan raya tetapi merangkumi sikap jelek masyarakat negara ini yang kelihatannya terlebih aksi sehingga hilang jati diri.

LT. KOL (K) DR. AHMAD ZAKI B. ISMAIL

Penasihat Persatuan Pengguna

Islam Malaysia

KAUT BERAS TANDA KETANDUSAN NILAI

PERISTIWA yang berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tanjung Malim seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari Rabu 23 Februari 2011, menandakan ketandusan nilai di kalangan penduduk Malaysia yang diagungkan sebagai negara Islam yang terkenal di dunia.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya merasa malu di atas tindakan tidak berakhlak sebahagian kecil rakyat Malaysia dalam peristiwa tersebut. Nampak seolah-olah orang Malaysia tak cukup makan lebih serius lagi daripada negeri ketiga yang mengalami kemiskinan tegar sepanjang tahun.

Sepatutnya sebagai seorang yang berperikemanusiaan, tentulah kita beri pertolongan dahulu kepada orang yang memerlukan pertolongan, bukannya merebut harta kepunyaan orang yang haram dimakan. Bayangkan, kalau perkara seperti itu berlaku kepada kita atau keluarga kita dan tiada siapa yang menolong kita. Apa perasaan kita pada masa itu? Memakan harta orang tanpa izin hukumnya haram. Memakan makanan yang haram ganjarannya neraka.

Antara sebab tidak mendapat pendidikan al-Quran ialah kerana hati kita gelap. Hati gelap kerana makan minum yang haram dan tidak menunaikan solat. Jika yang solat pun turut juga melakukan kemungkaran dan dosa-dosa besar, termasuk mengambil harta haram dan memakannya, ialah kerana solatnya tidak diterima sebab tidak sah. Solat tidak sah sebab cara melakukannya tidak kena, bacaannya tidak betul atau wuduknya tidak sah. Bacaan dan cara solat tidak kena dan tidak sah ialah kerana ada perasaan sombong di dalam diri sehingga tidak mahu belajar secara formal daripada guru-guru yang muktabar.

IBNU AHMADI

No comments:

Post a Comment