Dakwa dipukau sebelum dilarikan
SUNGAI BULOH – “Saya tidak ingat apa-apa. Sedar saja saya ternampak sebuah masjid dan restoran. Saya terus terus pergi ke restoran itu untuk mendapatkan bantuan.”
Demikian menurut Mastura Abu Bakar, 22, pelajar tahun dua jurusan Sains Politik, Universiti Malaya yang diculik petang Sabtu lalu.
Menurutnya dia tidak mengingati apa-apa selepas membeli kad ‘topup’ dan keluar dari sebuah kedai berhampiran Apartmen Pantai Permai Pantai Dalam pada hari kejadian.
“Bila saya sedar badan terasa amat lemah dan perut saya amat lapar. Saya minta bantuan daripada pemilik restoran itu untuk menghubungi keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau Sempak, semalam.
Mastura yang juga calon proMahasiswa (Prom) ditinggalkan penculiknya di Jeras Jernang, Bangi sebelum keluarganya menerima panggilan kira-kira jam 11.20 malam semalam memaklumkan penemuan anaknya itu.
Kelmarin satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pantai berhubung kehilangan Mastura.
“Saya akan tetap akan terus bertanding dalam pilihan raya kampus dan kejadian ini tidak langsung mematahkan semangat saya daripada terus berjuang,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan dan Pembangunan, Persatuan Mahasiswa Islam UM.
Sebelum kejadian Mastura turut menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan menyuruhnya menarik diri daripada pilihan raya kampus yang berlangsung semalam.
Sementara itu ibunya, Mariam Abdul Rashid, 49, bersyukur kepada Allah SWT kerana anaknya dapat ditemui semula.
“Terima kasih kepada mereka yang mendoakan keselamatan anak saya dan termasuk pihak Pas Selangor yang mengerakkan sembahyang hajat di masjid-masjid di seluruh Selangor,” katanya.
Menurut Mariam dia percaya anak d:ipukau sebelum dilarikan dan penculiknya didakwa mempunyai motif tertentu terutama untuk menggagalkan pilihan raya kampus universiti itu.
“Saya benarkan anak saya untuk bertanding kerana itu tanggungjawabnya dan saya akan terus menyokongnya,” katanya.
Difahamkan hasil laporan pemeriksaan hospital mengesahkan keadaan fizikal Mastura baik.
“Saya harap polis dapat memberkas mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah pada sidang medianya berkata, setakat ini polis mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kes hilang dan bukannya culik.
"Keterangan mangsa masih belum direkodkan tetapi kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang unsur jenayah. Walau bagaimanapun, kita harap mangsa dapat memberi kerjasama kepada polis," katanya.
Calon pilihan raya UM ditemui lemah di Bangi
Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my
MASTURAH (kiri) ditemani ibunya, Mariam pada sidang akhbar mengenai kehilangannya di UM, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR - Pelajar Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar, 22, yang hilang pada petang Sabtu lalu dijumpai awal pagi semalam dalam keadaan lemah di tepi jalan berdekatan sebuah masjid di Teras Jernang, Bangi.
Menurut ibunya, Mariam Abdul Rashid, 50, Masturah telah menghubunginya dengan meminjam telefon bimbit seorang pemilik kedai makan yang berada bersebelahan masjid di situ.
"Dia hanya panggil saya umi, umi, lepas itu saya suruh dia panggil pemilik telefon bimbit sebab Masturah seolah-olah tidak boleh bercakap lagi," katanya pada satu sidang akhbar di Akademi Pengajian Melayu UM di sini semalam.
Mariam memberitahu, selepas diberitahu oleh pemilik kedai makan itu mengenai lokasi Masturah berada, beliau sekeluarga terus menjemput anaknya di masjid berkenaan.
"Keadaan Masturah lemah dan tidak bermaya sebab tidak makan. Dia ditinggalkan di situ oleh seseorang selepas hilang sejak petang Sabtu lalu... dia anak yang baik dan saya percaya dia tidak buat perkara yang tidak betul," tambahnya.
Kehilangan Masturah cetus misteri
Mastura
KUALA LUMPUR 20 Feb. - Bahang Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya yang akan berlangsung esok semakin mendebarkan apabila seorang calon wanita promahasiwa yang bertanding, kini hilang sejak petang semalam.
Masturah Abu Bakar, 22, dilaporkan hilang ketika berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam yang menjadi tempat penginapan luar pelajar universiti itu.
Kehilangan pelajar tahun dua Akademi Pengajian Islam itu disedari oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd. Mansor sejak pukul 5 petang semalam sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Pantai pada pukul 12.20 tengah malam tadi.
Menurut Pengerusi ProMahasiswa Nasional, Mohd. Taufiq Abdul, sebelum kehilangannya, Masturah bersama beberapa rakan termasuk Nurhanis Wahidah berkumpul di antara blok D dan E pangsapuri tersebut untuk berkempen.
"Kira-kira pukul 4.15 petang, Masturah memberitahu rakannya yang dia hendak pergi membeli tambahan kredit telefon dan meminta rakannya itu menunggu di blok E.
"Bagaimanapun, setelah menunggu agak lama, Masturah tidak muncul dan usaha rakannya menghubungi calon itu gagal.
"Selepas enam jam mencari bersama penduduk di situ, Masturah gagal ditemui sebelum Nurhanis Wahidah membuat laporan polis tengah malam tadi.
"Masturah berpakaian baju kurung batik warna hijau merah jambu, bertudung warna merah jambu, kulit sawo matang bercermin mata, tinggi kira-kira 173 sentimeter, memakai kot labuh warna hitam dan kasut sandal putih sebelum dia disedari hilang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Taufiq, pihaknya menggunakan khidmat perubatan Islam Darussyifa untuk mengesan mangsa. Keluarganya juga telah dimaklumkan tentang kehilangan Mastura.
Beliau memberitahu, sebelum kejadian tersebut, rakan kepada calon itu memaklumkan bahawa Masturah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan.
"Antara isi kandungan SMS tersebut adalah: "Woi celaka! jaga sikit perangai kau itu, kami dah lama perhati kau, siaplah kau lepas ni, kau ingat kau bagus sangat".
"Malah pada pagi tadi, seorang lagi rakan mangsa menerima panggilan yang mengugutnya supaya jangan membuat laporan polis berhubung kehilangan Masturah sekiranya mahukan Mastura selamat," katanya lagi.
Katanya, ekoran panggilan yang berbentuk ugutan itu, satu lagi laporan polis dibuat di balai polis yang sama pada pukul 11.40 pagi ini.
Ditanya mengenai pilihan raya kampus itu, Mohd. Taufiq memberitahu, pihaknya telah menghantar surat kepada Naib Canselor UM memohon supaya menangguhkan pilihan raya tersebut.
Katanya, dalam usaha mendoakan mangsa selamat sehingga ditemui, pihaknya mengadakan majlis solat hajat beramai-ramai di Dewan Tunku Canselor di universiti itu malam ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan pelajar itu.
"Buat masa ini, kes itu diklasifikasikan sebagai orang hilang," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment