Mati merajuk
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya amat terkilan arwah tidak menjamah masakan saya selama seminggu kerana merajuk,” itulah luahan ibu kepada seorang lelaki yang terjatuh dari tingkat lapan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, di sini, semalam.
Siti Rokiah Md Yit, 50, berkata, dia tidak menyangka kata-kata terakhir anak lelakinya, Syaipol Syarifuddin Jamri, 22, agar membiarkannya mati dan tidak mahu makan petanda akan meninggalkan keluarga.
“Minggu lalu, saya menyuruhnya pergi ke kedai membeli santan tetapi memberi alasan mahu tidur. Sebagai ibu saya memarahinya kerana tidak mendengar kata.
“Adik perempuan saya yang juga adik arwah yang kebetulan berada di rumah turut memarahinya. Sebab itu, arwah merajuk dan berkata biarkan dia mati dan tidak mahu makan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, arwah dilaporkan menerima panggilan telefon bergegas keluar rumah. Beberapa minit kemudian mayatnya ditemui terjatuh di flat itu.
Menurutnya, seorang lagi anak perempuannya yang berusia 21 tahun dan berada di rumah hanya menyedari selepas dimaklumkan jiran.
Beliau bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah bank di Jalan Duta, di sini, kemudian bergegas pulang.
Mayatnya kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Anak keenam daripada lapan beradik itu patah kedua-dua kaki, tangan kanan dan cedera parah di kepala.
“Saya tidak pasti bagaimana arwah boleh terjatuh namun ada yang mendakwa dia ditolak rakan. Bagaimanapun saya reda apa yang berlaku dan tidak mahu menyalahkan sesiapa,” katanya.
Ditanya mengapa dia enggan membuat laporan polis berhubung kes terbabit, Rokiah sebaliknya memberi alasan tidak mahu memanjangkan kes itu dan menganggap ia sudah selesai.
Difahamkan, Syaipol baru seminggu berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di Wangsa Maju, di sini. Rokiah menyifatkan arwah seorang anak yang lembam dan sering menjadi mangsa buli rakan-rakannya sejak di zaman persekolahan, namun dia seorang yang ringan tulang dan disenangi jiran.
Menurutnya, anak lelakinya itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Selasih, Gombak, di sini, selepas solat Asar, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
No comments:
Post a Comment