Friday, February 11, 2011

Kisah Guru, Dakwa Mokhtar Sabah

ADUHAI GURU TERBEBAN

SAYA ingin mengucapkan terima kasih kepada Guru Tua, Norhisyam dan Othman yang mengulas tulisan saya pada 8 Februari lalu. Untuk makluman, saya pernah bertugas selama lima tahun di Kedah, empat tahun di Johor, enam tahun di Selangor dan selebihnya di Sabah, berkhidmat di sekolah rendah dan menengah, dari guru Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah (PPPBS) sehinggalah ke Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), selain pernah menyandang guru warden asrama desa dan jurulatih sukan kepada Darat (Sukda).

Justeru, saranan Guru Tua dan Norhisyam agar saya keluar dari tempurung telah lama saya laksanakan sejak dulu lagi. Guru Tua ada menyebut tentang masih wujud Guru A di Johor. Kenapa ia berlaku? Jawapannya (rujuk kenyataan Guru Tua) iaitu “Hanya guru bermasalah yang memegang jawatan minimum”. Persoalannya, kenapa guru bermasalah tidak diambil tindakan? Guru sebeginilah yang menjadikan guru-guru yang bagus dan ikhlas terpaksa memikul bebanan tugas tambahan.

Saya menafikan kenyataan Norhisyam berhubung guru sukan. Tulisan saya menyentuh tentang guru-guru bersukan, bukannya guru sukan. Aduhai rakan guru, pelanggan kita adalah pelajar, ibu bapa pelajar, masyarakat komuniti dan pemegang dasar. Tugas perkeranian yang dinyatakan adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kita dan ia adalah tugas kita.

Kepada Othman, memang ada guru diperuntukkan mengajar minimum enam waktu seminggu, selain Guru Besar atau Pengetua. Antaranya Guru Data, Guru Pusat Sumber, Setiausaha Peperiksaan dan Guru Bestari. Jangan lupa, ada sekolah berstatus Sekolah Kurang Murid (SKM). Kepada warga pendidik, sifarkan rungutan dan ikhlas bekerja kerana semua itu kerja kita dan ia adalah ibadah. Fikir-fikirkanlah.

MOKHTAR SABAH

SIASAT DAKWAAN MOKHTAR SABAH!
MENYANGGAH DAKWAAN CIKGU MOKHTAR

KALAULAH benar seperti yang didakwa Cikgu Mokhtar Sabah bahawa purata guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu, maka memang patut malulah guru yang mengaku terbeban. Tetapi bagaimana pula dengan guru-guru yang mengajar 31 waktu x 30 minit = 930 minit dan 27 waktu x 40 minit = 1080 minit! Mereka patut malu kepada siapa?

Bagaimana pula dengan seorang guru memegang jawatan seperti guru kelas, ketua panitia, ahli jawatankuasa kewangan dan pengauditan sekolah, pengurus saham koperasi, ahli jawatankuasa kurikulum sekolah, ahli jawatankuasa pengendalian dan pengurusan PBS peringkat sekolah, guru rumah sukan, ketua guru kelab sukan dan permainan, guru penasihat kelab dan persatuan dan bendahari PIBG dalam masa yang sama.! Adakah guru ini perlu malu kepada Cikgu Mokhtar Sabah! Mengenai tuduhan Cikgu Mokhtar bahawa guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Malah ada dalam kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar.

Kes sedemikian saya tidak pernah temui dan mungkin hanya berlaku di sekolah Cikgu Mokhtar Sabah. Bagi ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang mengumpul kekayaan menerusi ceramah sehingga mengabaikan pelajar dan guru sukan yang kaki kelentong seperti yang dimaksudkan oleh Cikgu Mokhtar Sabah, tepuk dada tanyalah selera kerana masing-masing arif akan halal dan haram duit gaji masing-masing. Yang lebih penting, perkara tersebut yang ditimbulkan oleh Cikgu Mokhtar Sabah jelas bukan sebahagian daripada beban tugas guru sebagaimana yang sering dirungutkan oleh para guru. Cikgu Mokhtar Sabah walaupun hampir 20 tahun menjadi guru dan pengurus sekolah, sebenarnya masih belum faham akan ‘beban tugas guru’ yang sering menjadi rungutan guru.

Cikgu Mokhtar Sabah harus faham bahawa situasi guru ‘makan angin’ di Sabah tidak boleh disamakan dengan nasib guru ‘tak malu yang terbeban’ di sesetengah sekolah di Semenanjung. Yang merungut ialah guru-guru yang betul-betul ingin menjadi guru tetapi terbeban dengan tugas-tugas bukan P&P terutama tugasan perkeranian! Hakikatnya pengetahuan dan pengalaman Cikgu Mokhtar Sabah hanyalah dalam lingkungan tempurung pendidikan di Sabah atau lebih tepat lagi pengalaman pendidikan Cikgu Mokhtar Sabah lebih menepati konsep ‘melancong sambil mendidik’! Saya ingin menasihati Cikgu Mokhtar Sabah agar melakukan sedikit ‘kerja rumah’ mengenai pendidikan di luar konteks tempurung sekolah Cikgu Mokhtar Sabah sebelum ‘membelah’ sesuatu isu pendidikan agar kredibiliti Cikgu Mokhtar Sabah sebagai seorang pengurus sekolah yang hebat tidak terjejas!

NORHISYAM MOHAMAD

Kuala Kedah
SAYA terpanggil untuk memberi reaksi tulisan Mokhtar Sabah dalam Forum Utusan Malaysia, 8 Februari 2011 dan menyokong tulisan Guru Tua dalam ruangan yang sama, bertarikh 10 Februari 2011.

Saya tertanya-tanya adakah betul Mokhtar Sabah ini seorang guru? Sekiranya apa yang dinyatakannya itu betul, saya cadangkan supaya Ketua Nazir Sekolah Sabah melakukan pemeriksaan terhadap dakwaan ini untuk ‘membersihkan’ keadaan yang didakwa itu termasuk cikgu Mokhtar Sabah.

Sebagai bekas Nazir Sekolah Sabah, apa yang didakwa oleh Mokhtar Sabah tidak benar. Tiada guru mengajar enam waktu seminggu! Pengalaman sebagai nazir melakukan pemeriksaan di sekolah menengah dan rendah di seluruh Sabah, tiada kes seperti ini. Saya amat meragui kenyataan Mokhtar Sabah. Saudara, jangan cuba menjatuhkan maruah guru-guru di Sabah.

OTHMAN AHMAD

(Bekas Nazir Sabah

Guru Tua sanggah Mokhtar Sabah

SAYA ingin memberi reaksi berdasarkan tulisan Mokhtar Sabah dalam Utusan Malaysia bertarikh 8 Februari 2011. Saya ingin memberi pendapat berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan. Saya rasa ramai guru yang terkejut dengan tulisannya. Di sini ingin saya menyangkal beberapa pandangannya.

Siapa guru yang diberi tanggungjawab mengajar enam waktu seminggu? Hanya Guru Besar yang diwajibkan mengajar enam waktu seminggu kerana beban tanggungjawab yang digalas. Guru mana yang purata mengajar 16 waktu seminggu? Rata-rata guru biasa di sekolah saya mengajar 32 waktu seminggu dengan beban tugas lain. Itu belum ganti guru bersalin yang tiada pengganti.

Contohnya Cikgu A.

- Masa mengajar 32 waktu x 30 minit seminggu.

- Guru Kelas

- Guru Data SDM

- Guru Disiplin

- Pengerusi Teknik Zon

- Guru Bertugas Mingguan

- Setiausaha Kelab Guru

- Penolong Ketua Rumah Sukan

(Banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan seperti mengisi Data Sistem Maklumat Murid (SMM) yang berubah-ubah setiap tahun, majlis persaraan, Hari Kantin, Hari Sukan dan lain-lain.)

Kami tersinggung dengan kenyataan Cikgu Mokhtar yang menyatakan guru mengajar lapan jam seminggu bersamaan dengan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

Wahai, Mokhtar Sabah, keluarlah dari bawah tempurung. Tugas guru bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi mendidik murid dari lepas subuh sampai sebelum maghrib. Malahan ada guru yang ikhlas menabur bakti hingga 10 malam. Di padang waktu petang, kalau bukan guru, siapa agaknya?

Mokhtar Sabah menyatakan seorang guru diberi satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Lihatlah contoh Cikgu A di atas. Hanya guru bermasalah yang memegang jawatan minimum. Kalau cikgu tersebut seorang yang bagus, maka makin banyak beban kerja terletak di bahunya.

Kami tidak pernah mengeluh tentang tugas hakiki menanda buku kerja pelajar, kertas ujian dan menyediakan soalan. Kami tahu tanggungjawab kami. Cuma yang kami bincangkan kerja-kerja lain yang membebankan seperti mengisi data yang sepatutnya bukan kerja kami.

Agaknya Mokhtar Sabah tidak pernah bertugas seminggu selepas cuti dan seminggu sebelum naik sekolah semasa cuti sekolah hujung tahun. Cuti kami diambil, tapi kami akur dengan arahan tersebut.

Wahai Mokhtar Sabah, kalau murid sekolah cikgu tak ramai, bolehlah cakap besar. Cubalah mengajar di sekolah yang muridnya lebih 2,000 orang. Agaknya Cikgu Mokhtar datang sekolah bila jam berbunyi 7.20 pagi dan balik 12.50 tengah hari. Cikgu Mokhtar tak bertugas untuk mengawal disiplin murid awal pagi, waktu rehat dan waktu balik? Ingat ya, tugas guru bukan mengajar di kelas sahaja!

Hanya guru yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru. Mokhtar Sabah, marilah datang ke Semenanjung, tukar angin untuk merasai apa yang kami rasa. Jangan dijolok sarang tebuan! Walaupun kami terbeban dengan tugas yang banyak, kami laksanakan dengan jayanya. Kami berjaya mengawal emosi dan tak perlu jumpa doktor sakit jiwa!

GURU TUA

Johor Bahru, Johor


Guru tidak terbeban kerja

SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.

Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.

Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. Rasionalnya:

* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.

* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.

* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.

Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:

* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.

* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.

* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.

* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.

* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.

Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.

Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.

Mokhtar Sabah

Keningau, Sabah.

1 comment:

  1. Assalamualaikum & salam sejahtera...

    Saya amat tertarik dengan artikel2 di atas. Saya memandang semua artikel di atas dari pelbagai sudut. Tulisan Cikgu Mokhtar pada dasarnya 90% saya setuju. Memang ada kebenarannya alasan2 yang diberikan cuma alasan 1 & 7 sahaja saya agak ragu2 kerana hujahnya agak kurang kukuh (perlu statistik yg jelas). Alasan2 lain memang ada asasnya. Jika anda benar2 seorang guru, anda tidaklah perlu merungut jika terpaksa menanda buku latihan, menggantikan kelas relief, melatih sukan, menjalankan tugas2 khas & macam2 lagi tugasan yg sememangnya tugas hakiki seorang GURU. Usah dibandingkan guru dulu dan guru sekarang kerana zaman mereka sangat berubah. Kepada guru2 terutamanya GURU CEMERLANG, pentadbir & pengurus sekolah, jemaah nazir negeri & persekutuan, pegawai2 pelajaran daerah & negeri, wakil2 kesatuan guru serta NGO's sepatutnya buka mata anda dengan kenyataan CIKGU MOKHTAR ini supaya sistem pendidikan kita akan lebih mantap... Ingatlah tuan2 & puan2 bahawa sekarang sistem pendidikan negara kita jika boleh saya analogikan di sini ialah ASSESSMENT - ACHIEVEMENT - LEARNING. Sepatutnya apa yang perlu kita lakukan ialah LEARNING - ACHIEVEMENT - ASSESSMENT barulah dipanggil pendidikan HOLISTIK.

    Cikgu Maktab
    Johor Bahru

    ReplyDelete