Dibelasah kerana angkat tangan kepada pemandu wanita
KUALA TERENG-GANU - Gara-gara mengangkat tangan kerana tidak berpuas hati dengan pemandu yang tidak membenarkannya memotong, seorang peniaga berdepan detik mencemaskan apabila dibelasah orang ramai, dalam satu kejadian di Jalan Gemuroh, Tepoh, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.15 petang, ketika mangsa yang berusia 41 tahun, dalam perjalanan untuk mengambil anaknya yang belajar di Setiu.
Menurutnya, mang-sa yang berasal dari Kampung Banggol Tok Jiring, bersama dua anaknya ketika kejadian berlaku.
“Mengikut siasatan awal, mangsa cuba memotong sebuah kereta yang dipandu seorang wanita. Bagaimanapun, pemandu wanita itu tidak mengendahkannya, sebaliknya melajukan kereta dan menghimpit kereta mangsa.
“Mangsa memberi isyarat untuk memotong tetapi pemandu itu sengaja tidak membenarkannya memotong. Tidak puas hati dengan tindakan pemandu wanita itu, mangsa kemudiannya mengangkat tangan tanda protes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Namun tidak semena-mena, suami wanita itu yang ketika itu duduk di sebelahnya, melambai tangan dan menyuruh mangsa berhenti.
Dia kemudiannya menarik baju mangsa sehingga terkoyak dan menumbuk mangsa manakala wanita itu dikatakan menendang mangsa, sebelum penduduk kampung datang serta turut memukul mangsa.
“Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis batu Rakit pada jam 8.50 malam. Dia juga didapati cedera pada muka, telinga, kepala, tengkuk dan kaki. Mangsa juga mendakwa telefon bimbitnya hilang.
“Polis kemudiannya membuat tangkapan terhadap suami isteri itu dan pasangan yang berusia 40-an itu juga membuat laporan polis pada Jumaat lalu.
“Bagaimanapun, mereka sudah dilepaskan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.
No comments:
Post a Comment