Thursday, February 17, 2011

FB Orang Glamour

Facebook usahawan-dermawan Syed Mokhtar Albukhary popular

LAMAN sosial Facebook bukan sahaja digilai golongan muda malah artis popular, tokoh korporat hinggalah kepada Presiden atau Perdana Menteri sesebuah negara.

Setakat ini, seramai 564,233 orang menyukai akaun Facebook milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Turut berjaya menarik peminat yang ramai ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu sebanyak 128,272 orang.

Artis popular tanah air, Datuk Siti Nurhaliza (47,210 orang), tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dan Datuk Seri Tony Fernandes pula meraih peminat masing-masing seramai 86,674 orang dan 43,182 orang.

Pastinya, Najib, Dr. Mahathir dan Tony Fernandes merestui kewujudan akaun Facebook tersebut.

Ia diguna sebagai saluran untuk mereka berinteraksi dengan orang ramai. Perdana Menteri sendiri dikatakan aktif mengguna akaun Facebooknya untuk mendapatkan pandangan rakyat terhadap sesuatu perkara membabitkan pentadbiran beliau.

Facebook banyak memberi manfaat kepada jutaan manusia di seluruh dunia termasuk empat tokoh tersebut. Tapi bagi Syed Mokhtar yang dikenali sebagai tokoh yang begitu low profile agak memeranjatkan.

Setahu saya, Syed Mokhtar bukanlah seorang yang sukakan publisiti. Apatah lagi, beliau bukanlah seorang yang celik komputer. Perkara itu disahkan sendiri oleh Syed Mokhtar semasa pertemuan peribadi saya dengan beliau tidak lama dulu. "Saya ni, komputer tak pandai. Hendak hantar atau baca SMS (khidmat pesanan ringkas) pun tak reti," katanya.

Namun disebabkan reputasi cemerlang beliau sebagai seorang usahawan dan dermawan, akaun Facebook Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary terus mendapat perhatian positif di kalangan ahli Facebook tempatan dan antarabangsa.

MEDIA MOGUL

Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment