Monday, February 28, 2011

Pegawai Xlengkap

‘Kejap lengkap, kejap tidak’
Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Sikap tidak bertanggungjawab dan peka kakitangan di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di Shah Alam, Selangor, mengundang perasaan tidak puas hati segelintir pelanggannya.

Lebih mengejutkan, pelanggan terpaksa menunggu sehari suntuk sebelum urusan siap, tetapi selepas menempuhi pelbagai kerenah kakitangan bertugas.


Pelanggan, Azli Hashim, 25, berkata dia ke pusat berkenaan kira-kira jam 8 pagi untuk proses pertukaran enjin dan kotak gear keretanya.

Katanya, ketika membuat permohonan dengan membayar RM35, kakitangan terbabit tidak memaklumkan dokumen yang diperlukan tidak mencukupi.


Selepas beberapa lama, dia dimaklumkan dokumen tidak cukup dan dia diminta mendapatkan surat kawal selia dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum permohonan diproses.


“Saya ke JPJ berdekatan dan menunggu sehingga surat itu dikeluarkan sebelum pergi semula ke pusat terbabit untuk membuat permohonan dan membayar semula RM35 sebagai bayaran permohonan.


“Saya dimaklumkan semua ujian sudah lulus dan diminta membayar RM20 lagi sebagai caj menyiapkan dokumen.


“Bagaimanapun, saya dimaklumkan dokumen belum mencukupi dan mereka memerlukan salinan geran pemilik kereta dan surat jual beli enjin, sedangkan sebelum itu saya tidak dimaklumkan mereka memerlukan semua dokumen berkenaan,” katanya ketika menghubungi Harian Metro di sini, semalam.

Azli yang bekerja sebagai penghantar surat berkata, dia meminta kawannya menghantar semua dokumen berkenaan kepadanya, tetapi selepas menyerahkannya di kaunter seorang kakitangan di situ memaklumkan mereka tidak memerlukan dokumen itu kerana sudah mempunyai surat dari JPJ.


“Saya tak kisah menunggu lama, tetapi janganlah ‘disepak’ saya ke sana ke sini, kejap kata dokumen tak lengkap, kejap kata lengkap.


“Lebih menyakitkan hati ada kakitangan yang seolah-olah menyindir saya dengan menyatakan perkara biasa pelanggan kena tunggu lama.


“Mereka seperti memperlekehkan pelanggan dan melengah-lengahkan kerja serta membiarkan kami terpaksa menunggu sehari suntuk hanya untuk menyiapkan permohonan,” katanya yang terpaksa menunggu sehingga jam 6.30 petang.


Menurutnya, dia berharap kakitangan pusat terbabit mesra pelanggan dan mempunyai kemahiran komunikasi.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial

No comments:

Post a Comment