Sukarnya kesan 11,000 rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Dengan hanya tujuh tenaga kerja, Kedutaan Malaysia di Kaherah berdepan misi sukar memantau dan mengesan lebih 11,000 rakyat Malaysia di Mesir bagi membolehkan proses pemindahan dilakukan.
Dalam usaha mencari itu, mereka sanggup melanggar perintah berkurung, malah turut memasak sendiri makanan untuk dibekalkan kepada pelajar dan rakyat Malaysia.
Menceritakan pengalaman itu, Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti berkata, sebelum Ops Piramid bermula, pihaknya memikul tugas getir kerana terpaksa mengesan rakyat Malaysia yang tinggal di merata tempat di Mesir.
"Yang berdaftar dengan kita adalah mudah (untuk dikesan) tetapi untuk mencari mereka yang tidak berdaftar inilah yang sukar. Kita pula terpaksa berdepan dengan perintah berkurung yang menjadi halangan kita untuk bergerak," katanya.
Mohd. Fakhrudin berkata, keadaan itu memaksa warga kedutaan melanggar perintah berkurung demi mencari pelajar dan rakyat terbabit, dengan mengunjungi rumah-rumah persatuan dan anak negeri.
"Kalau macam pelajar perubatan senang nak kesan sebab persatuan aktif dan kerap berhubung dengan kedutaan berbanding pelajar (jurusan) agama yang berada berselerak, susah nak kenal pasti mereka," katanya.
Terdapat kira-kira 11,000 pelajar dan rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, manakala yang tidak berdaftar pula adalah sekitar 200 orang dan kebanyakan mereka datang menerusi ejen.
Mohd. Fakhrudin berkata, rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor swasta pula tidak diwajibkan mendaftar dengan kedutaan dan ini menyukarkan usaha mengesan mereka.
"Apa yang kita lakukan bagi mengesan kumpulan ini antaranya ialah mengadakan kerjasama dengan Global Medic Network Sdn. Bhd. yang memberi perkhidmatan konsultansi kepada pelajar kerana mereka mempunyai rangkaian rapat dengan pihak tempatan," katanya.
TAJUK-TAJUK
No comments:
Post a Comment