Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Thursday, February 24, 2011
Tangkap Ikan Dlancang
Pesta Menangkap Ikan meriah
Oleh MUSAZLILA MUSTAPAR
utusanpahang@utusan.com.my
Orang ramai membanjiri Tasik Mini Estet, Kampung Cempaka, Lanchang sempena Pesta Menangkap Ikan, baru-baru ini. – utusan/ MUSAZLILA MUSTAPAR
LANCHANG 23 Feb. – Seawal pukul 7 pagi orang ramai sekitar Lanchang termasuk dari Kuala Lumpur telah membanjiri Tasik Mini Estet, Kampung Cempaka, dekat sini untuk menyertai Pesta Menangkap Ikan, baru-baru ini.
Meskipun pesta itu dianjurkan dua tahun sekali namun, setiap kali ia diadakan, sambutan yang diterima amat luar biasa.
Ini kerana tasik yang berkeluasan 16 hektar itu mampu menampung jumlah peserta yang ramai dalam satu-satu masa.
Tambahan pula, kedudukan Lanchang yang terletak di laluan yang hampir dengan daerah Lipis, Raub, Bentong dan Kuala Lumpur memudahkan orang ramai untuk sama-sama menyertai pesta tradisi itu.
Apa yang menarik dalam pesta tersebut ialah para peserta berpeluang menangkap pelbagai spesies ikan yang terdapat di dalam tasik berkenaan.
Ada juga peserta yang sanggup bermalam di tepi tasik itu kerana tidak mahu terlepas peluang untuk menangkap ikan pada keesokan harinya.
Bagi tujuan itu, mereka membawa pelbagai kelengkapan menangkap ikan termasuk jala, jaring dan sauh.
Ada kalangan mereka juga membawa ramai ahli keluarga supaya mendapat jumlah tangkapan yang banyak.
Keseronokan peserta terbabit jelas terpancar menerusi keceriaan masing-masing ketika menangkap ikan.
Tidak kurang juga ada antara mereka yang sekadar mahu bersuka ria bersama ahli keluarga dan merasai kehidupan orang kampung menangkap ikan air tawar.
Pada pesta kali ini, lebih 2,000 peserta tidak melepaskan peluang menyertainya untuk mendapatkan ikan yang kaya dengan sumber protein itu.
Pesta menangkap ikan tersebut dirasmikan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan.
Turut hadir, Ketua UMNO Cawangan Kampung Cempaka, Ishak Jamaludin, Setiausaha UMNO Bahagian Temerloh, Razmi Sudin dan Pegawai Perikanan Temerloh, Haris Lebai Yunus.
Pengerusi Tasik Mini Estet itu, Ishak Mohamad berkata, kawasan terbabit mempunyai 52,000 spesies ikan termasuk likoh, kap rumput, jelawat, patin, lampam, rohu, keli, haruan, puyu dan sepat.
Menurutnya, pesta itu diadakan dua tahun sekali kerana pihaknya mengalami masalah kewangan untuk membeli makanan ikan.
Sehubungan itu, jelasnya, pihaknya terpaksa membiarkan ikan-ikan di dalam tasik terbabit membesar dengan mencari makanan sendiri seperti rumpai, rumput dan hidupan kecil lain.
“Kita memang berhasrat mengadakan pesta ini setiap tahun tetapi memandangkan mengalami masalah kewangan, kita terpaksa membiarkan ikan ini membesar secara semula jadi dengan memakan makanan yang ada di dalam tasik itu.
‘‘Jika kita memberi makanan tambahan sudah pasti kadar pertumbuhan ikan ini lebih cepat.
“Dengan keluasan tasik ini, kami tidak mampu memberi ikan-ikan makan setiap hari. Namun, kita lihat ikan ini membesar dengan baik dan rasa isinya lebih sedap kerana ia memakan sumber semula jadi yang ada di dalam tasik,” katanya.
Ishak berkata, tasik semula jadi tersebut boleh memuatkan lebih 200,000 ribu ikan dalam satu-satu masa.
Bagaimanapun jelasnya, jumlah itu terpaksa dikurangkan supaya ikan-ikan yang terdapat dalam tasik tersebut dapat membesar dengan baik.
Pihaknya berterima kasih kepada Jabatan Perikanan daerah yang tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar dalam memastikan ikan-ikan dalam empangan itu membesar dan hidup dalam habitat yang selesa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment