Friday, February 25, 2011

S-Mahkamah Tinggi


Kes bunuh Sosilawati dipindah ke Mahkamah Tinggi


N. PATHMANABHAN (dua kiri) bersama tiga pekerja ladangnya diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, semalam.

KUALA LANGAT 24 Feb. - Kes bekas peguam, N. Pathmanabhan bersama tiga pekerja ladangnya yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu akan disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Mac ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Hurman Hussain membenarkan permohonan itu semasa kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Pathmanabhan, 41, bersama T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30, didakwa membunuh keempat-empat mangsa di antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di sini.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain Sosilawati, 47, turut menjadi mangsa dalam kejadian itu ialah pemandu wanita tersebut, Kamarudin Shamsudin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Norhisham Mohammad, 38.

Pathmanabhan diwakili oleh empat peguam iaitu Ravi Nekoo, Pushpa Ratnam, Datuk Ng See Teong dan Amer Hamzah Arshad, manakala ketiga-tiga pekerja ladang itu tidak diwakili peguam bela.

Sementara Ishak turut dibantu oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani.

Tiga hari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan tempoh hukuman penjara terhadap dua lagi pekerja ladang Pathmanabhan yang disabitkan atas kesalahan melupuskan bahan bukti pembunuhan tersebut ditambah daripada tujuh tahun kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian terhadap K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, selepas membenarkan semakan kehakiman terhadap hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret Telok Datok ke atas setiap tertuduh terbabit.

Kedua-dua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing selepas dua hari Pathmanabhan dan tiga tertuduh lain didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan membunuh pada 13 Oktober tahun lalu.

Semakan kehakiman dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah iaitu seseorang hakim boleh membuat semakan terhadap keputusan mahkamah rendah untuk membetulkan keputusan, rumusan, hukuman dan perintah.

Berita kehilangan jutawan Sosilawati telah menggemparkan negara di saat umat Islam bergembira meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Lebih mengejutkan, media massa kemudian melaporkan bahawa pihak polis mengesahkan bahawa keempat-empat mangsa telah dipukul sehingga mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment