UM: Inggeris diutamakan
SAYA dengan ini merujuk kepada tulisan di dalam Forum Utusan (muka 12), Sabtu 19 Februari 2011 dan 22 Februari 2011 mengenai kepentingan bahasa Melayu di Universiti Malaya (UM).
Naib Canselor telah mengadakan satu siri taklimat bertajuk Raising UM into the rank of Top 100 universities within 5 years kepada semua pelajar ijazah dasar di seluruh kampus sepanjang bulan Februari dan Mac 2011.
Siri taklimat ini bertujuan berkongsi hasrat UM untuk menjadi universiti ternama bersama pelajar sekali gus mengingatkan pelajar akan peranan mereka ke arah mencapai hasrat UM itu. Semua slides yang digunakan oleh Naib Canselor (NC) telah disediakan oleh unit saya.
Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh NC adalah kualiti serta kebolehpasaran graduan UM.
Pada masa kini, majikan sering menyatakan dengan jelas ciri-ciri graduan yang diperlukan dan keperluan utama adalah tahap kompetensi serta kemahiran dalam aspek kemahiran insaniah seperti komunikasi (terutamanya dalam bahasa Inggeris) praktikal, kemahiran ICT, pemikiran kritikal, keupayaan bekerja secara berpasukan, kepimpinan, etika dan profesionalisma serta pandangan terbuka terhadap pembelajaran sepanjang hayat.
Selaras dengan itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menekankan penerapan elemen Generic Students Attribute (GSA) dalam program pengajian ijazah dasar.
Pada masa yang sama, kebolehpasaran graduan serta kepuasan majikan merupakan kriteria penting dalam sistem penarafan dan penyertaan pada peringkat nasional dan antarabangsa. Ini jelas ditunjukkan dalam kriteria serta pemberatan kepada kriteria tersebut seperti berikut:
n Penyetaraan IPT di Malaysia (SETARA) – Kualiti Graduan (40%) di mana ini terbahagi kepada, Kepasaran Graduan (12%), Kepuasaan Majikan (13%), Generic Student Attribute (5%) dan Kepuasan Pelajar (5%).
* The World University Ranking (QS) – Employer Survey (10%).
* QS World University Ranking – employer/recruiter review (10%)
Dalam siri taklimat beliau, Naib Canselor telah membentangkan hasil kajian pengesanan Graduan 2010 oleh KPT berkaitan kebolehpasaran graduan pada tempoh 6 bulan setelah tamat pengajian. Analisis terperinci mengikut fakulti menunjukkan pencapaian yang rendah di kalangan beberapa fakulti di UM.
Naib Canselor telah mengaitkan prestasi ini dengan beberapa hasil kajian lain yang menunjukkan keperluan penambahbaikan dalam aspek-aspek seperti komunikasi terutamanya dalam bahasa Inggeris, pemikiran kritikal dan keusahawanan seperti yang ditunjukkan oleh dapatan pelaksanaan instrumen MY3S oleh KPT oleh KPT.
Laporan panel penilai Audit Prestasi Akademik (APA) juga ada menyebut saranan serta komen sesetengah majikan graduan UM berhubung kelemahan komunikasi, etika dan profesionalisma serta unsur kemahiran insaniah lain yang perlu ada pada graduan UM bagi membolehkan mereka berdaya saing dalam pasaran kerja masa kini.
Hasrat Naib Canselor dalam siri taklimat ini adalah untuk mengingatkan para pelajar betapa pentingnya mereka perlu mendapatkan pendidikan holistik dan menjadi graduan yang berkebolehan seperti yang diperlukan oleh pasaran masa kini, di samping ilmu pengetahuan dalam bidang yang diceburi.
UM sememangnya mengamalkan penggunaan bahasa Malaysia dalam semua urusan rasmi.
Bagaimanapun, pada waktu yang sama UM perlu akur kepada saranan KPT dan permintaan majikan yang memerlukan graduan yang berkebolehan dalam berbahasa Inggeris di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Selaras dengan saranan dari panel Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk memartabatkan Akademi Pengajian Melayu (APM), Naib Canselor telah banyak kali berbincang dengan APM untuk meningkatkan bilangan pelajar cemerlang dan ikon akademik bagi memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Di APM juga NC telah memberi banyak dana untuk menyokong Program Pertukaran Pelajar/Pensyarah dengan Beijing Foreign Studies University (BFSU), Yunnan University Nationalities (YUN), universiti-universiti di Thailand dan Indonesia.
Walaupun pihak UM berasa kesal dengan pihak yang ingin memburukkan UM, namun isu ini telah menguatkan lagi semangat UM untuk terus membawa kecemerlangan UM sebagai 100 universiti terbaik pada tahun 2015 dan untuk memartabatkan APM di persada dunia.
Sila layari http://www.facebook.com/ UniversityOfMalaya untuk mendapatkan semua slides yang Unit Pengurusan Kualiti telah sediakan untuk kegunaan Naib Canselor dalam siri pembentangan beliau kepada pelajar.
Profesor Dr. Fauza Abd Ghaffar
Pengarah, Unit Pengurusan
dan Penambahbaikan Kualiti
(QMEC) Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment