Monday, February 28, 2011

Polis Patah Demonstrasi

Tindakan pantas polis elak demonstrasi Hindraf merebak

APA sahaja demonstrasi haram yang menyusahkan rakyat wajar dihapuskan. Untuk itu, mencantas pihak yang membuat pelan dan pihak yang menghasut orang ramai menyertai demonstrasi haram wajar dilakukan dan diteruskan dari semasa ke semasa.

Ini kerana tanpa 'arahan' diterima daripada pemimpin, maka ahli tidak berani melakukan sesuatu termasuk menyertai demonstrasi haram.

Sehubungan itu, pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan awam tidak perlu tunduk kepada desakan pemimpin tertentu yang perjuangan mereka hakikatnya bukan untuk kaum yang diwakili, sebaliknya demi kepentingan peribadi atau menjadi alat politik pihak tertentu.

Membiarkan pemimpin sesebuah kumpulan haram seperti Hindraf bermaharajalela, mencabar undang-undang dan peraturan negara akan merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum yang kita kecapi sejak zaman merdeka lagi.

Jika diberi pilihan iaitu di antara kumpulan ekstrem yang tidak tentu hala perjuangannya dengan keselamatan serta keharmonian hidup bermasyarakat, tentulah semua pihak yang waras dan berakal akan memilih untuk menjalani kehidupan dalam suasana harmoni, aman dan damai. Ia menjadi pilihan kerana kita tidak mahu berasa takut untuk keluar rumah menjalani kehidupan biasa.

Membiarkan pemimpin bertindak sesuka hati sehingga menjejaskan keselamatan negara boleh diumpamakan membiarkan kudis buta merebak menjadi nanah yang membusuk. Justeru itu, tindakan menahan lapan pemimpin kanan Hindraf dan 109 yang lain merupakan satu tindakan yang bijak. Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 45(1) Akta Pertubuhan 1966 kerana dipercayai menganjurkan perhimpunan haram.

Kita berpendapat, sebelum kudis buta bernanah dan membusuk yang mana keadaan itu pasti menimbulkan kurang senang majoriti penduduk, maka wajarlah mereka-mereka itu ditahan untuk dirawat, diubati dan dipulihkan agar tidak melakukan perbuatan sama di kemudian hari kelak.

Apa yang boleh disimpulkan adalah tindakan pantas pihak polis yang berjaya mengawal demonstrasi dengan menahan pihak perancang terlebih dahulu adalah satu tindakan bijak yang wajar dipuji. Strategi itu yang digabungkan pula dengan penutupan jalan raya dengan mengadakan sekatan di laluan utama masuk ke pusat bandar raya berjaya mengagalkan demonstrasi haram tersebut.

Hakikatnya, tindakan polis itu direstui oleh orang ramai yang bencikan huru-hara yang dicetuskan oleh Hindraf sejak dahulu lagi. Ini kerana isu yang diperjuangkannya bukan untuk kebaikan kaum India yang diwakilinya, malah lebih kepada kepentingan politik individu tertentu. Sebab itulah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India di negara ini juga membantah penganjuran demonstrasi haram itu dengan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertainya.

Yang pasti, penahanan itu wajar dilakukan kerana pihak penganjur berdegil meneruskan rancangan mereka, walaupun menyedari pihak polis tidak mengeluarkan permit. Bayangkan jika semua pihak mahu melakukan sesuka hati tanpa menghiraukan amaran polis dan peraturan serta undang-undang negara.

Jika tidak diambil tindakan, dibimbangi pula ia akan menjadi ikutan kumpulan ekstrem lain yang nampaknya semakin berani mengeluarkan kenyataan ikut sedap mulut tanpa memikirkan kesannya. Tahniah kepada pihak polis yang berjaya menggagalkan demonstrasi haram tersebut.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment