Sunday, February 20, 2011

Jejaka Putus Asa

Teruna sengsara sejak putus cinta


SAYA pelajar IPTA dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dan insya-Allah penghujung tahun ini saya bakal menamatkan pengajian.

Hampir tiga tahun lalu saya mengenali gadis sebaya umur saya. Dengan izin Allah, kami bercinta. Malangnya cinta kami tidak bertahan lama. Sepanjang mengenali si dia, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana menganugerahkan si dia.


Saya dapat rasakan hidup ini sangat lengkap dan sempurna. Dunia ini ibarat syurga kepada saya. Sepanjang mengenali si dia kami tidak pernah melakukan perkara terkutuk yang dilarang agama.

Namun selepas berpisah dengan si dia, hidup saya sedih dan sunyi. Hampir tiga tahun dan setiap malam saya menitiskan air mata kerana terkenang dan rindukan si dia.


Bagi saya, sangat pelik seorang lelaki menangis tapi perkara ini terjadi kepada saya. Seawal perpisahan kami, saya beranggapan mungkin dua tiga bulan saya dapat hilangkan perasaan duka ini, tapi sehingga hari ini (hampir tiga tahun) saya masih terkenangkan si dia.


Bayangkan betapa deritanya hati saya kerana setiap hari teringatkan si dia. Hidup saya tidak seperti dulu lagi, saya banyak menghabiskan masa dengan rakan untuk melupakannya, ketawa saya hanya di luar tetapi jauh di lubuk hati saya sangat sedih.


Saya selalu berdoa semoga Allah SWT menghilangkan perasaan duka ini tapi sehingga kini perasaan itu masih ada. Kadangkala saya juga mengharapkan Tuhan menemukan kembali si dia satu hari nanti.


Setahun lalu saya mengenali gadis lain dan dia sangat sukakan saya sehingga sanggup membawa saya berjumpa ahli keluarganya.


Katanya, ibu bapa dia menyukai saya tapi saya tidak mahu menipu gadis itu kerana hati dan perasaan saya masih sayangkan bekas kekasih lama.


Saya tidak mahu kalau selepas berkahwin kelak saya tidak dapat menyayanginya sepenuh hati. Saya rasa bersalah dengan dia dan ibu bapa kerana memberi harapan palsu.


Sekarang saya ingin dapatkan kata-kata semangat untuk teruskan hidup. Hidup saya tidak sesempurna dulu.


Dulu saya pelajar dalam kategori ‘dean’s list’ (senarai dekan) di universiti tapi sekarang tidak lagi dan lebih teruk lagi saya hilang selera makan sehingga badan menjadi kurus dan muka sangat cengkung. Hidup saya kini bagai dilambung ombak, tiada arah untuk dituju. Apapun, saya sentiasa berserah kepada Allah SWT kerana yakin kepada-Nya.

INSAN SETIA
Johor

Sebagai pelajar kejuruteraan, Dang Setia percaya saudara arif dengan istilah Inggeris ‘chemistry’. Dalam sains, istilah itu merujuk kepada kimia manakala dalam aspek hubungan membawa maksud keserasian.


Dang Setia tidak terkejut apabila saudara menceritakan kesengsaraan merindui bekas kekasih. Perasaan itu wujud kerana saudara sebenarnya menyedari kalian memiliki keserasian, terutama selepas berpisah.


Tanyalah pasangan bercinta, sama ada kekasih atau suami isteri, antara aspek utama yang boleh membahagiakan hubungan adalah keserasian.


Tanpa keserasian, hubungan itu pasti tidak sempurna kerana kedua-dua individu berkenaan tidak melengkapi antara satu sama lain.


Keserasian umpama besi berani dalam sesuatu hubungan. Perasaan cinta bercantum mekar, sentuhan membawa seribu makna, tolak ansur menjadi pegangan serta saling memahami antara satu sama lain.


Justeru, tonik kepada masalah saudara adalah mencari semula keserasian yang hilang, selain meneruskan usaha rohani berserah dan berdoa kepada Allah SWT seperti yang saudara lakukan.


Keserasian itu boleh dicari semula sama ada dengan bekas teman wanita atau gadis lain. Mungkin tidak terlambat jika saudara rujuk semula dengan bekas kekasih jika dia belum berpunya.


Jika dia menjadi milik orang, lupakan saja. Jangan jadikan cinta sebagai penghalang untuk melakar kejayaan.


Cinta seharusnya menjadi pemangkin kejayaan, bukan penyebab kegagalan. Jika cinta yang dicari belum kunjung tiba, teruskan pencarian itu kerana sebagai lelaki, saudara mempunyai banyak masa.


Cuma Dang Setia harap dalam mencari cinta sejati, jangan permainkan perasaan orang lain, dalam konteks ini gadis yang meminati saudara.


Tidak salah berkawan dengannya atau berkunjung ke rumah keluarganya, tapi saudara perlu berterus terang mengatakan hubungan kalian setakat ini adalah sebagai kawan kerana saudara masih mencari cinta sejati.


Sebagai lelaki, saudara perlu memiliki perwatakan kuat. Ingat, lelaki adalah payung atau pelindung kepada wanita, bukan dilindungi.


Justeru, janggal rasanya jika saudara hilang selera makan hingga badan menjadi kurus gara-gara gagal dalam percintaan.


Berusaha membentuk perwatakan hebat juga penting untuk masa depan saudara. Ini kerana selepas menamatkan pengajian hujung tahun ini, insya-Allah saudara bakal menjadi ketua di pejabat dan apabila mendirikan rumah tangga kelak menjadi pemimpin kepada isteri dan anak.

No comments:

Post a Comment